Wednesday 27 February 2013

Api neraka 70 kali ganda lebih panas

Api neraka 70 kali ganda lebih panas

Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa sesungguhnya Allah mengutuskan Malaikat Jibril untuk bertemu dengan Malaikat Malik yang bertanggungjawab menjaga pintu neraka. Tujuannya adalah untuk meminta Malaikat Malik membawa api neraka itu kepada Nabi Adam agar dapat digunakan untuk memasak dan keperluan-kepeluan lain. 

Lalu Malaikat Jibril berkata : "Wahai Malik, aku diutuskan oleh Allah untuk mengambil api neraka bagi kegunaan Nabi Adam." Kemudian Malaikat Malik kemudiannya bertanya : " Wahai Malaikat Jibril, berapa banyakkah yang kamu inginkan ? Jibril menjawab : " Bawakan sebesar sebiji kurma." Lantas Malaikat Malik berkata : "Tahukah kamu wahai Jibril andainya aku berikan kepada kamu api nereka sebesar biji kurma, nescaya akan hancur lebur tujuh petala langit dan bumi disebabkan kepanasan api neraka itu."

Maka berkata Jibril : " Jika begitu yang terjadi, maka berikanlah kepadaku separuh daripada biji kurma." Malaikat Malik kemudiannya menjawab : "Andainya aku berikan separuh daripadanya sebagaimana yang kamu pinta, ketahuilah bahawa langit tidak akan menurunkan hujan, walaupun setitis air kerana panasnya api itu. Lantaran itu, juga bumi tidak akan ditumbuhi oleh tanaman dan menjadi kering kontang."

Lantaran penjelasan Malaikat Malik itu, Jibril berdoa pada Allah untuk memohon petunjuk : "Wahai Tuhanku, sebanyak manakah yang sepatutnya aku ambil daripada neraka." Allah menjawab doa Jibril dengan berfirman : " Ambillah ia sebesar biji sawi." Kemudian Jibril mengambil api neraka daripada Malik sebesar biji sawi dan membawanya kesyurga untuk dibasuh di 70 sungai. 

Kemudian Jibril turun ke bumi dan meletakkannya diatas gunung yang tinggi. Sebaik saja Jibril meletakkannya, maka hancur lebur gunung itu menjadi rata dan api itu dikembalikan semula ke tempat asal. Yang tinggal hanyalah asapnya saja melekat pada batu.  Daripada kisah diatas,  dapat kita bayangkan betapa panasnya api neraka yang diciptakan Allah SWT berbanding api yang ada didunia ini. 

Seksa orang ingkar 

Harus diingat, api neraka yang panas itulah yang disediakan untuk menyeksa orang yang ingkar, kufur dan mereka yang suka melakukan maksiat serta tidak mempedulikan peringatan Allah.  Dalam sebuah hadis riwayat, ada menyatakan bahawa Jibril datang berjumpa dengan Rasulullah SAW dan baginda bertanya kepada Jibril : "Wahai Jibril, terangkanlah kepadaku tentang sifat-sifat api neraka."

Jibril menjawab : " Sesungguhnya Allah SWT menjadikan neraka dan yang dinyalakan selama seribu tahun hingga menjadi merah menyala. Kemudian ia dinyalakan lagi sehingga warnanya berubah menjadi putih. Kemudian dinyalakan lagi selama seribu tahun sehingga warnanya berubah menjadi hitam pekat bagaikan malam yang gelita.  Tidaklah padam nyalaan api itu dan tidak pula mati baranya. "

Bayangkanlah dengan akal fikiran yang telah Allah kurniakan, jika seketul api neraka yang sebesar biji kurma itu dapat menghancurkan tujuh petala langit dan bumi, manakala seketul api neraka sebesar biji sawi yang telah dibasuh dengan 70 buah sungai dapat meranapkan gunung yang tinggi. 

Bagaimana pula agaknya dengan keadaan manusia yang dibakar oleh Allah pada hari akhirat kelak dengan keadaan api neraka yang turun menjunam? Mereka adalah orang yang mensyirikkan Allah, tidak mempedulikan apa yang disyariatkan Allah serta berlaku zalim sesama insan. 

Sesungguhnya apabila tiba hari Akhirat dan pembalasan, maka semuanya sudah terlambat. Tiada lagi rintihan dan rayuan akan didengari. Yang tinggal hanya pekikan serta jeritan kepedihan menanggung azab yang tidak terperi.  Alangkah seksanya mereka yang menerima pembalasan buruk pada hari Akhirat kelak. 

Marilah kita manadah tangan dan sentiasa berdoa agar dengan rahmat dan kasih sayang Allah kita dijauhkan daripada api neraka yang membakar ini sebagaimana maksud surah al-Furqan ayat 65-66 yang bermaksud:-

"Ya Tuhan kami, jauhkanlah azab neraka Jahanam daripada kami, sesungguhnya azabnya itu amat mengerikan. Sesungguhnya Jahanam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman,"


OLEH : IMAM MUDA HASSAN ADLI YAHAYA



Monday 18 February 2013

Kota Thaif dan Buah Zaqqum

Negara Arab Saudi terkenal dengan iklim dan cuaca panas. Maklumlah dataran Arab memang ditakdirkan Allah SWT dengan sedemikian rupa. Tetapi jangan hairan dan takjub dengan sebuah kota bernama Thaif. Jika di Malaysia, mungkin seperti Cameron Hihglands, yang dianugerahkan dengan suhunya yang sejuk dan dingin.  Thaif adalah sebuah daerah yang lokasinya hanya 80 kilometer dari Mekah, tetapi mempunyai iklim yang sungguh berbeza dengan Mekah. Di Mekah, mungkin orang ramai terbiasa dengan suhu panas sehingga melebihi 40 darjah celcius pada umumnya. Jarak di antara Mekah dan Thaif hanyalah sejam lebih perjalanan menaiki kenderaan biasa.

Thaif terkenal sebagai pengeluar produk sayur-sayuran dan buah-buahan di Arab Saudi. Thaif diberkati Allah SWT dengan kesuburan tanahnya walaupun komposisi tanahnya yang berbatu lebih banyak. Buah-buahan dan sayur-sayuran yang terdapat dipasar tradisionalnya melimpah ruah dan segar. Segala jenis buah-buahan dan sayur-sayuran berada di Thaif termasuk penghasilan buah delima yang sangat terkenal. Semua produk tersebut diedarkan diseluruh Arab Saudi dan lain-lain negara di Tanah Arab.

Untuk memasuki Thaif, diperlukan keizinan khusus dan pemeriksaan yang cukup ketat. Ini mungkin kerana disana terdapat akedemi tentera dan gedung senjata kerajaan Arab Saudi. Thaif dikelilingi oleh pergunungan yang sekali gus mempengaruhi iklim dingin dan sejuk. Dahulunya, Thaif sekadar mengingatkan kisah pengusiran baginda Nabi Muhammad SAW dan dilempar betu oleh musuhnya. Kini daerah ini pula tumbuh subur pokok zaqqum, pokok yang dipenuhi duri tajam dan besar.

Apakah gerangan pokok zaqqum ini ? Adakah ia sama dengan pokok ghorqod Yahudi ? Atau apakah hikmah disebalik pohon zaqqum yang tumbuh di Thaif dengan pokok zaqqum di neraka ? Firman Allah SWT bermaksud : Dan (demikian juga kami jadikan) pokok yang dilaknat (zaqqum) didalam al-Quran dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran), maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-lampau . (al-Israa' :60) Firman Allah SWT lagi yang bermaksud : Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang zalim (didunia dan azab seksa bagi mereka diakhirat). (as-Saaffat : 63)

Manakala firman Allah SWT bermaksud : (ingatlah), sesungguhnya pokok zaqqum (buahnya) menjadi makanan bagi orang-orang yang berdosa (dalam neraka) , makanan ini pula panas, seperti tembaga cair, mendidih dalam perut, seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya . (ad-Dukhan :43-46) Firman Allah SWT bermaksud : Sebenarnya ia (zaqqum) sebatang pohon yang tumbuh didasar nereka yang marak menjulang. Buahnya seolah-olah kepala syaitan-syaitan. (as-Saaffat : 65-65)

Seperti dimaklumkan, syaitan sentiasa melihat kita sedangkan kita tidak dapat melihatnya. Syaitan mendengar apa yang kita katakan sedangkan kita tidak merasa akan bisikannya. Iblis laknatullah menggoda manusia dengan cara yang halus dan tidak dirasai manusia. Rasulullah SAW bersabda bermaksud : " Sesungguhnya syaitan berjalan dalam tubuh manusia seperti berjalan atau mengalirnya darah. "

Daripada Abu Hurairah ra katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud : " Syaitan mengikat tengkuk salah seorang kamu (setiap orang) ketika tidur pada waktu malam dengan tiga ikatan. Apabila orang yang tidur itu bangun daripada tidurnya kemudian dia mengingati Allah SWT (membaca doa bangun tidur), maka terbukalah satu ikatan. Jika dia berwudhuk, terbukalah satu ikatan lagi,dan jika dia mengerjakan solat (subuh) , terbukalah ikatan yang ketiga, sehingga dia menjadi sihat dan cergas. Kalau tidak melakukan yang tiga itu, dia merasakan rimas atau malas. " Demikianlah bahaya yang ditimbulkan oleh Syaitan .

SETITIK ZAQQUM

Berbalik kepada pokok zaqqum, Rasulullah SAW bersabda bermaksud : " Seandainya setitik daripada zaqqum dititikkan didunia nescaya akan menghancurkan kehidupan semua penghuninya. Lalu bagaimana dengan keadaan orang yang menjadikan zaqqum sebagai makanannya ?" (riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dalam sunannya, kitab az-zuhud, bab shifat an-Nar).  

Walaupun pokok zaqqum tidak sama dengam pokok ghorqod, tetapi orang-orang Yahudi sudah terkenal dan suka menanam dan memelihara pokok ghorqod dan kini telah banyak terdapat dan ditanam oleh mereka, khususnya di bumi Palestin, bahkan pokok tersebut diedarkan ke seluruh Amerika Syarikat .

Rasulullah SAW bersabda bermaksud : Tidak akan terjadi kiamat hingga kaum Muslimin memerangi kaum yahudi, lalu membunuh mereka, sehingga seorang Yahudi bersembunyi di balik batu dan pokok, lalu batu dan pohon itu berkata : Hai Muslimin, hai hamba Allah, ini Yahudi dibelakangku, kemarilah, bunuhlah dia kecuali pokok ghorqod, maka itu adalah daripada pokok-pokok Yahudi.  (riwayat muslim)

Begitu juga tanah Palestin adalah warisan umat Islam sejagat sejak Zaman berzaman daripada para Nabi dan Rasul yang diutuskan Allah SWT.

SUMBER : HARIAN METRO (MEGA AGAMA)

Sunday 17 February 2013

Solat terapi jiwa paling berkesan

Ketika diri berasa tidak aman dan tidak tenteram,pasti ada sesuatu yang melanda kesejahteraan jiwa dan memerlukan kita untuk bermuhasabah diri. Menerusi muhasabah diri, kita akan mengenal pasti dimana tingkat jiwa kita.  Jiwa disebut dalam al-Quran sebagai "Nafs". Nafs dinyatakan sebanyak 295 kali ini merujuk kepada roh, jiwa, diri, nyawa. Tentu sekali ia juga berkait dengan kehidupan dan kematian seorang insan.

Ulama pada zaman dulu mengkelaskan tingkatan jiwa atau nafsu yang berbeza-beza dan wujud dalam diri manusia. Ulama membahagikan nafsu dan jiwa ini kepada tujuh bahagia. :-

1. Nafsu Amarah .

Nafsu pada peringkat ini adalah nafsu yang belum terasah dan teracu. Jiwanya kotor dan memberontak. Apabila melakukan perbuatan disa, dia tidak berasa itu dosa.  Kemudian, dia melakukan pelbagai kesalahan dan penganiayaan, tetapi malangnya dia langsung tidak berasa bersalah.  Ulama menyifatkan jiwa mereka seperti haiwan yang membuang najsi tetapi tidak beristinjak dan tidak pula berasa kotor.  Dia makan sembarangan hinggakan hak orang lain pun diambil. Kumpulan ini berada ditahap jiwa kacau yang paling kritikal. Mereka berasakan mereka bahagia tetapi sebenarnya menipu diri sendiri. Hati mereka gelap kerana tidak pernah cuba mencari terapi untuk jiwa yang kosong.

2. Nafsu Lawwamah

Pada peringkat ini, orang yang memiliki jiwa ini akan selalu rasa sesal atas perbuatan atau dosa yang dilakukan. Namun, sayangnya, setelah bertaubat, dia masih mengulang kembali dosanya.  Jiwanya tidak sekeras jiwa yang berada pada tingkat AMarah. Cuma jiwanya harus dibentuk dan dibentukan lagi. Jiwanya kacau ketika cuba berperang dengan ajakan serta godaan untuk kembali menulang dosanya.

3. Nafsu Mulhammah

Mungkin anda pernah memiliki teman, atau mungkin anda sendiri mengalami keadaan apabila anda atau teman mengalami perubaan yang semakin balik. Perubahan ini adalah kerana adanya pengalaman buruk. Misalnya, orang yang mengalami gangguan fungsi hati yang menyakitkan kerana minuman keras. Hasilnya, orang itu menjadi insaf dan tidak minum arak lagi. Atau seorang kaki judi yang jatuh miskin dan muflis akibat kekalahan.  Akhirnya kehidupannya hancur, isterinya dikahwini lelaki lain manakala anaknya diberikan kepada orang. Dia sedar dan bertaubat. Nafsu Mulhammah secara ringkasnya boleh diertikan sebagai nafsu yang diilhamkan oleh sesuatu yang lain .

"Kekacauan jiwa perlu diubati sebaik mungkin kerana ia boleh mengundang pelbagai konflik sama ada pada diri sendiri mahupun orang disekeliling "

4. Nafsu Muthmainnah

Katakan si pemabuk tadi mempertahankan kesedarannya dan bertekad untuk terus menjadi baik. Tiba-tiba dia bertemu rakannya yang pernah menjad teman baik ketika menjadi pemabuk dulu dan dia diajak untuk kembali meminum arak. Namun, dia tetap utuh dengan pendiriannya kerana jiwanya kini tenang. Kesedaran baiknya tidak goyah oleh godaan berkenaan. Maka, tergolonglah dia dalam kalangan mereka yang berjiwa Muthmainnah.

5. Nafsu al-Radhiyah.

Jika jiwa menjadi tenang, apa saja ujian yang menyakitkan tidak menjadi mudarat kepadanya. Malah, rasa sabar terhadap ujian itu meningkatkan iman serta darjatnya disisi Allah. Jiwanya akan sentiasa redha dengan segala ketentuan Allah kepadanya.

6. Nafus al-Mardhiyah

Setelah redha atau ikhlas dengan apa saja yang diturunkan Allah, kini tiba masa dia diredhai Allah. Apa saja yang ingin dilakukan akan diredhai Allah kerana setiap tindakannya dibimbing oleh wahyu dan syariat. Segala perbuatannya terlindung daripada perbuatan yang tidak diredhai.

7. Nafsu Kamilah

Ini adalah tingkat nafsu yang paling sempurna dan jarang manusia memiliki nafsu dan jiwa seperti ini. Nafsu dan jiwa ini dimiliki oleh Rasul, Nabi dan orang Soleh. Individu ini dicatatkan sebagai ahli Syurga.  Jadi, berdasarkan tingkat nafsu ini, dimanakah agaknya kedudukan jiwa kita sekarang ? Kekacauan jiwa perlu diubati sebaik mungkin kerana ia boleh mengundang pelbagai konflik sama ada diri sendiri mahupun orang di sekeliling.

Penyakit jiwa tidak dapat dipulihkan orang lain melainkan diri sendiri . Terapilah jiwa dengan mendekatkan kembali diri kepada Allah. Tunaikan solat pada awal waktu, biasakan diri dengan amalan sunat.  Allah sebaik-baik penjaga hati dan jiwa. Allah jugalah yang menghilankan segala kegelisahan yang bertaut didalam diri.

OLEH : IMAM MUDA HASSAN ADLI YAHAYA

SUMBER : HARIAN METRO (KALAM IMAM MUDA)


Mengenali Empat Mazhab Utama

Mazhab merujuk kepada madrasah atau aliran fiqh bagi mentafsirkan syariat dan pengambilan hukum daripadanya.  Ia membabitkan  metodologi fiqh dalam beristinbat (mengeluarkan hukum) dan mengetahui hukum.  Mazhab bukan syariat baru dan bukan sesuatu yang lain daripada Islam. Syariat menjadi hujah ke atas mazhab, bukan mazhab yang menjadi hujah ke atas syariat Islam.

Bagi seseorang yang mengikut mazhab, diharuskan mengikut mazhab lain dalam sesetengah masalah kerana tidak wajib dia terikat dengan semua ijtihad mazhab yang menjadi ikutannya. Tetapi ikutan kepada mazhab lain mesti berasaskan dalil kuat mendorongnya beralih. Malah, dia juga harus bertanya kepada alim ulama lain daripada mazhabnya mengenai hukum syarak dalam apa jua masalah dan beramal dengan fatwanya .

Dalam bermazhab, kita tidak harus menyempitkan dengan adanya perbezaam pandangan dan ijtihad mazhab kerana perbezaan kefahaman itu adalah perkara tabii kepada manusia. Antara mazhab muktabar ialah Syafie, Maliki, Hanafi dan Hanbali. Empat mazhab ini mempunyai peraturan, kaedah dan panduan yang sempurna lagi lengkap yang ditulis oleh mereka dalam kitab masing-masing.

Mazhab Syafie : 

Diasaskan oleh Muhamad bin Idris as-Syafie. Beliau penyokong kepada ilmu hadis dan pembaharuan dalam agama (mujaddid) bagi abad kedua Hijrah. Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata : "Diceritakan kepada Nabi Muhammad bahawa Allah menghantar kepada umat ini seorang pembaharu agama, Umar bin Abdul Aziz dihantar untuk abad pertama dan aku harap Imam Syafie adalah Mujadid abad yang kedua . "

Mazhab Hanafi :

Diasaskan oleh Nu'man bin Tsabit. Beliau adalah seorang berjiwa besar dan berakhlak tinggi. Beliau juga seorang yang bijak dalam ilmu pengetahuan, cekap memberikan satu-satu keputusan bagi masalah dihadapi. Imam Abu Hanifah terkenal sebagai seorang alim dalam ilmu fiqh di Iraq. Beliau juga ketua ahli fikir. Golongan cerdik pandai ketika itu menyifatkan beliau sebagai "akal ilmu pengetahuan". Ketika hayatnya, beliau mengikuti pelbagai perkembangan ilmu pengetahuan, baik dibidang ilmu dan politik mahupun ilmu agama. Beliau hidup dalam dua zaman pemerintahan Umaiyah dan Abbasiyah.

Mazhab Maliki :

Diasaskan oleh Malik bin Anas. Beliau lahir di Kota Madinah, 13 tahun selepas kelahiran Imam Abu Hanifah.  Imam malik menhafaz al-Quran dan Hadis. ingatannya sangat kuat.. Beliau mendengar hadis daripada guru, disimpulkan tali bagi menyenangkan menghitung bilangan hadis dipelajarinya.  Beliau dianggap ketua atau imam ilmu hadis. Sanad (sandaran) yang dibawa oleh beliau, termasuk salah satu sanad terbaik dan benar. Imam Malik adalah seorang yang dipercayai, adil dan kuat ingatannya serta cermat memilih rawi hadis.

Hukum fiqh yang diberikan oleh Imam Malik berdasarkan al-Quran dan Hadis. Beliau menjadikan hadis sebagai pembantu bagi memahami al-Quran. Beliau juga sangat cermat memberi penerangan dan hukum .

Mazhab Hanbali :

Diasaskan oleh Ahmad bin Muhamad bin Hanbal, lahir diKota Baghdad pada tahun 164 Hijrah. Beliau menuntut ilmu sepanjang hayat dan mempelajari hadis hingga menjadi seorang imam.  Ada yang bertanya : " Sampai bilakah engkau mahu menuntut ilmu, padahal engkau sudah mencapai darjat tertinggi ?".  Imam Ibnu Hanbal menjawab :"Aku menuntut ilmu dari hujung dunia hingga ke pintu kubur."

Memang benar beliau tidak pernah jemu menuntut ilmu sepanjang hayatnya. Imam Syafie adalah seorang daripada guru beliau. Ibnu Hanbal bertemu Imam Syafie di Hijaz, sewaktu menunaikan haji. Pada waktu itu, Imam Syafie mengajar di Masjidil Haram. Mereka kemudian bertemu kali kedua di Baghdad.

SUMBER : HARIAN METRO 

Monday 11 February 2013

10 Sebab doa manusia tidak dimakbulkan


Ibrahim bin adham pernah ditanya penduduk Basrah : "Mengapa keadaan kami tidak berubah? Bukankah Allah berjanji akan mengabulkan doa orang yang berdoa kepadanya?" Beliau menjawab : Ada 10 perkara yang menyebabkan dia tidak diterima, iaitu :-

 # Kamu mengenal Tuhan, tetapi kamu tidak memenuhi hak-Nya.

Hak Tuhan ialah kewajipan untuk beribadat dan menunaikan perintah-Nya. Justeru, janganlah berharap                orang yang tidak menunaikan perintah Tuhan doanya akan diterima.

# Kamu banyak membaca al-Quran, tetapi kamu tidak mahu mengamalkannya.

Maksud daripada perkataan ini ialah orang terbabit mempunyai pengetahuan mengenai al-Quran, tetapi tidak mengamalkan kandungan didalamnya atau sekiranya mempunyai pengetahuan mengenai al-Quran al-Quran, dia tidak berusaha memahaminya.
Malah, dia memahami suatu kebaikan, tetapi sering meninggalkannya dan memahami adanya larangan tetapi melanggarnya.

# Kamu mengaku mencintai Nabi, tetapi meninggalkan sunnahnya. 

Orang terbabit mengaku mencintai Nabi dan menjadikannya sebagai ikutan, namun realitinya selalu meninggalkan sunnahnya, bahkan melanggarnya.

#Kamu mengaku menjadi musuh syaitan, tetapi kamu mengikutinya.

Walaupun mengetahui syaitan itu sentiasa memujuk ke jalan kesesatan, orang terbabit  gemar pula dengan jalan berkenaan. Dia mengakui dan menjadikan syaitan sebagai musuh besarnya, tetapi dia belum mampu mengawal nafsunya, malah cenderung mengikutinya.

# Kamu memohon keselamatan daripada seksa api neraka, tetapi kamu memasukkan diri kamu sendiri ke dalamnya.

Sewaktu berdoa dirinya belum disucikan daripada kekotoran batin. Sewaktu berdoa dia membacanya dengan tekun dan khusyuk memohon keselamatan daripada pedihnya azab neraka. Bagaimanapun, da;am kehidupan seharian dia tidak meninggalkan perangai buruk .

# Kamu berdoa supaya dimasukkan ke dalam syurga, tetapi kamu enggan berusaha memasukinya. 

Keengganan ini dalam bentuk tidak mahu menempuh jalan yang mampu menghantar mereka ke syurga iaitu melalui jalan kebaikan. Dia tidak mahu menggantikannya sikap buruknya yang menjadi kebiasaan dengan sikap baik.

# Kamu tahu kematian itu benar, tetapi kamu tidak mempersiapkan diri. 

Kematian jalan untuk bertemu Tuhan, tetapi mereka tidak mempersiapkan diri untuk tujuan itu.

# Kamu sibuk dengan aib orang lain, tetapi terhadap aib sendiri kamu tidak mahu tahu .

Kegemaran mendedahkan aib orang lain menjadikannya lupa kekurangan diri sendiri. Hal ini mengakibatkan sifat sombong menjadi-jadi. Selama didalam hati seseorang itu ada sifat sombong, meskipun sebesar zarah tidak akan masuk syurga. Begitulah kata-kata Nabi :"Nilai sombong sebesar zarah mampu menggagalkan seseorang untuk masuk syurga. Apa lagi satu doa, sudah tentu ditolak

# Kamu sudah banyak menikmati nikmat Tuhanmu, tetapi kamu tidak mensyukurinya. 

Orang terbabit lupa nikmat diberikan Tuhan kepadanya, padahal sudah sekian banyak dikurniakan kepadanya. Tuhan benci orang yang tidak tahu berterima kasih. Justeru, mana mungkin Tuhan akan melihat orang terbabit sewaktu berdoa kepadanya.

# Kamu sering mengebumikan mayat, tetapi tidak pernah mengambil iktibar daripadanya. 

Orang terbabit tidak banyak mengambil pengajaran daripada kematian, sehingga kesedarannya terhadap kebaikan tidak muncul. Dia tidak mengubah sikap buruknya.


SUMBER : HARIAN METRO (ADDIN)


Allah pilih Jumaat untuk peristiwa agung

ALLAH PILIH JUMAAT UNTUK PERISTIWA AGUNG

Abu Daub meriwayatkan satu hadis Nabi SAW daripada Ibnu Majah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Bahwasa Allah telah menjadikan hari Jumaat sebagai hari yang paling mulia. Kerana pada hari jumaatlah Allah ciptakan Nabi Adam AS dan pada hari Jumaat juga Allah wafatkannya. Pada hari Jumaat Malaikat Israfil meniupkan sangkakala iaitu hari dunia ini dikiamatkan oleh Allah dan pada hari Jumaat juga sangkakala kedua ditiupkan, dimana sekalian manusia dibangkitkan di Padang Mahsyar.

Oleh itu, apabila tiba hari Jumaat hendaklah kamu berselawat kepadaku sebanyak mungkin, kerana selawat itu dibawa terus oleh Malaikat khas kepadaku.  Berkata mereka (sahabat): "Wahai Rasulullah, bagaimana selawat itu akan dibawa terus kepadamu, sedangkan tubuh Rasulullah reput dimakan oleh bumi? Berkata Rasulullah SAW: Sesungguhnya Allah Taala mengharamkan ke atas bumi daripada memakan jasad kalangan nabi.

Sabda Rasulullah SAW lagi, banyakkanlah selawat ke atasku pada hari Jumaat kerana setaip hari Jumaat Allah SWT mengutuskan malaikat khas untuk membawakan ucapan selawat itu secara serta merta kepadaku."

Pada hari Jummat juga digelar sebagai hari raya bagi sekalian orang yang miskin. Sebab itulah dimakruhkan berpuasa sunat pada hari berkenaan, kecuali apabila ia digandingkan dengan hari sebelumnya atau selepasnya.

Allah SWT memilih Jumaat untuk peristiwa agung sebagaimana dinyatakan dalam hadis. Justeru, Rasulullah SAW juga memuliakannya dengan menganjurkan umatnya membanyakkan membaca selawat dihari berkenaan.

Alangkah beruntungnya orang yang berselawat pada hari Jumaat, kerana apabila Nabi SAW menjawab selawat mereka bererti mereka mendapat doa daripada Nabi SAW walaupun mereka tidak mendengar doa daripada Nabi SAW itu.

Hubungan selawat antara umat dengan Nabi SAW ibarat hubungan doa antara anak dengan ibu bapanya. Nabi SAW bangga dengan selawat daripada umatnya, sebagaimana rasa bangga dan bahagia yang dirasai oleh ibubapa yang berada didalam kubur ketika anaknya yang soleh mendoakannya.

Saturday 9 February 2013

Mesej Terakhir Rasulullah

MESEJ TERAKHIR RASULULLAH SAW .

Lebih 10,000 para jemaah berkumpul. Terik matahari Arafah tidak mengundurkan langkah penduduk yang bersatu kerana Allah. Rasulullah berdiri membicarakan khutbah Baginda yang terakhir.

Puji-pujian kepada Allah kedengaran. Sejurus itu, Rasulullah berpesan, maksudnya : "Wahai umatku, hayati kata-kataku. Aku tidak tahu sama ada masih mampu atau tidak bertemu kamu semua selepas tahun ini. Dengarlah dengan teliti dan sampaikan kepada yang tidak hadir hari ini."

Pelbagai reaksi terbit, hairan. tunduk sepi serta membisu berbicara. Para jemaah tekun mendengar bait-bait pesanan Rasululllah. Mari kita teliti antara mesej-mesej terakhir Rasulullah s.a.w :-

MESEJ 1 : Bercinta dengan Al-Quran dan Sunnah. 

Meneliti mesej yang terkandung dalam kedua-dua sumber Islam, al-Quran dan Sunnah serta mempraktikkan segala input dan output yang tersirat untuk kesejahteraan hidup didunia dan akhirat.

MESEJ 2 : Memperkemas bukti cinta 

Hamba yang patuh dan cinta pada Penciptanya akan selalu beristiqamah mencintai Allah, memperbaiki kualiti solat, memperbanyakkan berpuasa, menunaikan zakat dan mengerjakan haji jika mampu. Setiap muslim itu juga akan memperindah hubungannya sesama Muslim yang lain

MESEJ 3: Berwaspada dengan musuh hakiki .

Syaitan merupakan musuh hakiki yang gigih menyerang keselamatan dan keimanan orang Islam secara zahir dan batin. Syaitan telah berputus asa untuk menyesatkan Mukmin dalam perkara-perkara besar, jadi berhati-hatilah agar tidak terjatuh pula dalam perangkapnya yang menghasut dalam perkara-perkara kecil !

MESEJ 4 : Memperhebat takwa 

Setiap jiwa pasti akan bertemu Rabnya dan akan dipersoalkan mengenai segala amal perbuatan yang dilakukan. Awasi kehidupan agar tidak terkeluar daripada landasan yang sebenar. Kita adalah sama dan tiada perbezaan disisiNya. Takwa dan amal soleh , itu kayu ukur sebenar kita dihadapan-Nya.

SUMBER : MAJALAH SOLUSI 

Tiru Ibadah Rasulullah SAW

TIRU IBADAH RASULULLAH SAW 

Ramai orang ingin menyahut saranan menampung kekurangan amalan dengan melakukan ibadah sunat yang selalu dilaungkan. Alhamdullilah, walaupun sudah penat melakukan pelbagai urusan, masih ada lagi waktu diperuntukkan untuk melakukan amalam sunat .  Tahukah anda bahawan bangun pada waktu malam dan melakukan ibadah merupakan amalan yang sentiasa diamalkan Rasulullah? Betapa baginda mencintai qiamullail dan amalan soleh.

Berikut dinyatakan Lima fakta mengenai ibadah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW :-


  1.  Melaksanakan solat hingga kedua-dua kaki baginda bengkak. 
  2. Baginda akan tidur awal pada waktu malam untuk bangun pada tengah malam bagi menunaikan solat sebanyak 13 rakaat. (Riwayat al-Tirmizi)
  3. Memulakan solat malam dengan dua rakaat yang ringan. 
  4. Baginda pernah melaksanakan dalam keadaan berdiri dan duduk. 
  5. Istiqamah melakukan solat sunat dua rakaat pada waktu berikut :-

    * Sebelum subuh
    * Sebelum Zuhur
    * Sebelum Asar
    * Sebelum Maghrib
    * Sebelum Isyak.
Rasulullah melakukan beberapa solat sunat secara rutin. Sebahagian solat tersebut dilakukan dirumah dan sebahagian lagi dimasjid. Namun demikian, tempat yang paling baik untuk melaksanakan solat sunat ialah dirumah sebagaimana yang terdapat dalam hadis baginda, maksudnya :-

      " Laksanakan sebahagian solat kalian dirumah . Jangan jadikan rumah kalian sebagai kuburan." 
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

SUMBER : MAJALAH SOLUSI 


Thursday 7 February 2013

Berdiam diri satu ibadah

BERDIAM DIRI SATU IBADAH

Setiap orang tidak lekang daripada berbicara. Namun, bicara yang sia-sia, tidak mengikut adab, malah penuh dengan tipu muslihat demi kepentingan diri akan membuatkan anda tidak disukai orang sekelilin. Malah dibenci oleh Tuhan dan diakhirat mendapat balasan.  Bagi orang beriman, nikmat lidah kurniaan Tuhan itu digunakan bagi perkataan yang enak didengar,terhias dengan mutiara berhikmah. Mereka tidak akan berbicara perkara sia-sia, menabur fitnah dan membuka aib orang. Jika tiada yang mendatangkan faedah, bagi mereka lebih baik berdiam diri.

Ini kerana berdiam diri mempunyai beberapa hikmah antaranya :-
  • Menjadi satu ibadah
  • Perhiasan tanpa perlu berhias.
  • Kehebatan tanpa kerajaan.
  • Benteng tanpa pagar.
  • Kekayaan tanpa meminta maaf daripada orang lain. 
  • Istirahat bagi kedua-dua malaikat pencatat amal.
  • Menutup segala aib. 
Banyak hadis Rasulullah SAW mengenai kelebihan berdiam diri,antaranya bermaksud : " sesiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Sesiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Sesiapa yang banyak dosanya, nescaya nereka lebih utama baginya. " (Hadis Riwayat Abu Naim)

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim bermaksud : " sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau berdiam."
Sementara hadis diriwayatkan at-Tirmidzi bermaksud : "Sesiapa diam, dia terlepas daripada bahaya".

Ada pendapat mengataka, banyak diam tidak semestinya dungu dan banyak cakap juga tidak semestinya cerdik kerana kecerdikan itu buah fikiran dan orang cerdik yang pendiam lebih baik daripada orang bodoh tetapi banyak bercakap.  Pendapat itu memang ada betulnya kerana jika bercakap panjang lebar, tetapi tiada sedikit pun boleh diambil pedoman. bahkan gelak tawa dan merapu sahaja yang lebih, tiada gunanya. Mereka yang mendengar juga akan cepat merasa bosan dan akhirnya orang itu akan dijauhi rakan taulan. 

SUMBER : HARIAN METRO

Monday 4 February 2013

Ibn Bajjah

BAJJAH SETARAF ARISTOTLE, FARABI

Kedatangan Islam di Sepanyol sejak zaman sahabat banyak mempengaruhi kehidupan masyarakat disana khususnya dalam bidang keilmuan dan ketamadunan. Kesannya masih dapat dilihat sehingga ke hari ini malah  pengaruhnya begitu jelas apabila kita melihat kepada bentuk seni bina monumen dan bangunan. 

Sebenarnya pada masa pemerintahan Islam dinegara itu, lahir ramai cendiakawan dalam pelbagai bidang seperti falsafah, perubatan, matematik, sastera mahupun astronomi. Ibu Bajjah seorang daripada ilmuan terbabit. Nama sebenar beliau ialah Abu Bakr Muhammad Ibn Yahya al-Saigh yang dilahirkan di Saragossa pada 1082Masihi dan meninggal pada 1138 Masihi.  Walaupun usianya tidak panjang, beliau memiliki ilmu, kemahiran dan bakat dalam pelbagai bidang . Malah, beliau terkenal sebagai seorang sasterawan dan ahli bahasa yang unggul sehingga pernah menjadi penyair bagi golongan al-Murabbitin yang dipimpin Abu Bakar Ibrahim Ibn Tafalwit.

"Ibn Bajjah seorang ilmuan agung yang tiada bandingannya pada zamannya di Sepanyol."

Pada masa sama, beliau dikenali sebagai seorang ahli muzik dan pemain gambus yang handal. Namun, beliau juga seorang hafiz al-Quran dan terkenal sebagai seorang doktor.  Beliau turut berkebolehan dalam politik sehingga dilantik menjadi menteri pada masa Abu Bakar Ibrahim berkuasa di Saragossa. Selain itu, beliau menguasai ilmu matematik, fizik dan falak. Kemampuannya menguasai pelbagai disiplin ilmu menjadikannya seorang ilmuwan agung, malah dikatakan tiada bandingan di Sepanyol ketika itu. 

Dalam bidang falsafah misalnya, ada pihak mengatakan Ibn Bajjah diletakkan setaraf al-Farabi dan Aristotle.  Beliau mengemukakan gagasan falsafah ketuhanan yang menetapkan bahawa manusia boleh berhubung dengan akal fa'al melalui perantaraan ilmu pengetahuan dan pembangunan potensi manusia. Menurutnya, manusia boleh mendekati Tuhan melalui amalan berfikir dan tidak semestinya melalui amalan tasawuf yang dikemukakan Imam al-Ghazali.  

Dengan ilmu dan amalam berfikir, segala keutamaan dan perbuatan moral dapat diarahkan untuk memimpin serta menguasai jiwa. Usaha ini boleh menumpaskan sifat haiwaniah yang bersarang didalam hati dan diri manusia.  Berdasarkan pendapatnya, seseorang itu harus mengupayakan perjuangannya untuk berhubung dengan alam sama ada bersama-sama dengan masyarakatnya ataupun secara terpisah. Jika masyarakat tidak baik, seseorang itu harus menyepi dan menyendiri. Pandangan falsafah Ibn Bajjah ini jelas dipengaruhi idea al-Farabi. 

Pemikiran falsafah Ibn Bajjah ini dapat diikuti dalam 'Risalah al-Wida' dan kitab 'Tadbir al-Mutawwahid' yang secara umumnya adalah pembelaan kepada karya al-Farabi dan Ibn Sina kecuali bahagian yang berkenaan dengan sistem menyendiri dan menyepi.  Namun ada sesetengah pengkaji mengatakan kitab itu sama dengan buku 'Al-Madinah al Fadhilah' yang ditulis al-Farabi. Dalam buku itu, al Farabi menjelaskan pandangan beliau mengenai politik dan falsafah. Al- Farabi sewaktu membicarakan mengenai politik mencadangkan supaya sebuah negara kebajikan diketuai ahli falsafah diwujudkan . 

Satu persamaan yang ketara antara al-Farabi dengan Ibn Bajjah ialah kedua-duanya meletakkan ilmu mengatasi segala-galanya. Mereka hampir sependapat yang akal dan wahyu adalah satu hakikat yang padu. Malah, sebarang percubaan untuk memisahkan kedua-duanya hanya akan melahirkan masyarakat dan negara yang pincang. Jesteru, akal dan wahyu harus menjadi asas pembinaan sesebuah negara serta masyarakat yang bahagia.  Ibn Bajjah juga menulis buku berkaitan jiwa judul 'al-Nafs', namun ia banyak dipengaruhi gagasan pemikiran falsafah yunani. Oleh itu, beliau dikatakan banyak membuat ulasan terhadap karya dan hasil tulisan Aristotle, Galenos, al-Farabi dan al-Razi. 


SUMBER : HARIAN METRO 31 JAN 2013 (ADDIN)