Showing posts with label Kalam Imam Muda. Show all posts
Showing posts with label Kalam Imam Muda. Show all posts

Wednesday, 27 February 2013

Api neraka 70 kali ganda lebih panas

Api neraka 70 kali ganda lebih panas

Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa sesungguhnya Allah mengutuskan Malaikat Jibril untuk bertemu dengan Malaikat Malik yang bertanggungjawab menjaga pintu neraka. Tujuannya adalah untuk meminta Malaikat Malik membawa api neraka itu kepada Nabi Adam agar dapat digunakan untuk memasak dan keperluan-kepeluan lain. 

Lalu Malaikat Jibril berkata : "Wahai Malik, aku diutuskan oleh Allah untuk mengambil api neraka bagi kegunaan Nabi Adam." Kemudian Malaikat Malik kemudiannya bertanya : " Wahai Malaikat Jibril, berapa banyakkah yang kamu inginkan ? Jibril menjawab : " Bawakan sebesar sebiji kurma." Lantas Malaikat Malik berkata : "Tahukah kamu wahai Jibril andainya aku berikan kepada kamu api nereka sebesar biji kurma, nescaya akan hancur lebur tujuh petala langit dan bumi disebabkan kepanasan api neraka itu."

Maka berkata Jibril : " Jika begitu yang terjadi, maka berikanlah kepadaku separuh daripada biji kurma." Malaikat Malik kemudiannya menjawab : "Andainya aku berikan separuh daripadanya sebagaimana yang kamu pinta, ketahuilah bahawa langit tidak akan menurunkan hujan, walaupun setitis air kerana panasnya api itu. Lantaran itu, juga bumi tidak akan ditumbuhi oleh tanaman dan menjadi kering kontang."

Lantaran penjelasan Malaikat Malik itu, Jibril berdoa pada Allah untuk memohon petunjuk : "Wahai Tuhanku, sebanyak manakah yang sepatutnya aku ambil daripada neraka." Allah menjawab doa Jibril dengan berfirman : " Ambillah ia sebesar biji sawi." Kemudian Jibril mengambil api neraka daripada Malik sebesar biji sawi dan membawanya kesyurga untuk dibasuh di 70 sungai. 

Kemudian Jibril turun ke bumi dan meletakkannya diatas gunung yang tinggi. Sebaik saja Jibril meletakkannya, maka hancur lebur gunung itu menjadi rata dan api itu dikembalikan semula ke tempat asal. Yang tinggal hanyalah asapnya saja melekat pada batu.  Daripada kisah diatas,  dapat kita bayangkan betapa panasnya api neraka yang diciptakan Allah SWT berbanding api yang ada didunia ini. 

Seksa orang ingkar 

Harus diingat, api neraka yang panas itulah yang disediakan untuk menyeksa orang yang ingkar, kufur dan mereka yang suka melakukan maksiat serta tidak mempedulikan peringatan Allah.  Dalam sebuah hadis riwayat, ada menyatakan bahawa Jibril datang berjumpa dengan Rasulullah SAW dan baginda bertanya kepada Jibril : "Wahai Jibril, terangkanlah kepadaku tentang sifat-sifat api neraka."

Jibril menjawab : " Sesungguhnya Allah SWT menjadikan neraka dan yang dinyalakan selama seribu tahun hingga menjadi merah menyala. Kemudian ia dinyalakan lagi sehingga warnanya berubah menjadi putih. Kemudian dinyalakan lagi selama seribu tahun sehingga warnanya berubah menjadi hitam pekat bagaikan malam yang gelita.  Tidaklah padam nyalaan api itu dan tidak pula mati baranya. "

Bayangkanlah dengan akal fikiran yang telah Allah kurniakan, jika seketul api neraka yang sebesar biji kurma itu dapat menghancurkan tujuh petala langit dan bumi, manakala seketul api neraka sebesar biji sawi yang telah dibasuh dengan 70 buah sungai dapat meranapkan gunung yang tinggi. 

Bagaimana pula agaknya dengan keadaan manusia yang dibakar oleh Allah pada hari akhirat kelak dengan keadaan api neraka yang turun menjunam? Mereka adalah orang yang mensyirikkan Allah, tidak mempedulikan apa yang disyariatkan Allah serta berlaku zalim sesama insan. 

Sesungguhnya apabila tiba hari Akhirat dan pembalasan, maka semuanya sudah terlambat. Tiada lagi rintihan dan rayuan akan didengari. Yang tinggal hanya pekikan serta jeritan kepedihan menanggung azab yang tidak terperi.  Alangkah seksanya mereka yang menerima pembalasan buruk pada hari Akhirat kelak. 

Marilah kita manadah tangan dan sentiasa berdoa agar dengan rahmat dan kasih sayang Allah kita dijauhkan daripada api neraka yang membakar ini sebagaimana maksud surah al-Furqan ayat 65-66 yang bermaksud:-

"Ya Tuhan kami, jauhkanlah azab neraka Jahanam daripada kami, sesungguhnya azabnya itu amat mengerikan. Sesungguhnya Jahanam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman,"


OLEH : IMAM MUDA HASSAN ADLI YAHAYA



Sunday, 17 February 2013

Solat terapi jiwa paling berkesan

Ketika diri berasa tidak aman dan tidak tenteram,pasti ada sesuatu yang melanda kesejahteraan jiwa dan memerlukan kita untuk bermuhasabah diri. Menerusi muhasabah diri, kita akan mengenal pasti dimana tingkat jiwa kita.  Jiwa disebut dalam al-Quran sebagai "Nafs". Nafs dinyatakan sebanyak 295 kali ini merujuk kepada roh, jiwa, diri, nyawa. Tentu sekali ia juga berkait dengan kehidupan dan kematian seorang insan.

Ulama pada zaman dulu mengkelaskan tingkatan jiwa atau nafsu yang berbeza-beza dan wujud dalam diri manusia. Ulama membahagikan nafsu dan jiwa ini kepada tujuh bahagia. :-

1. Nafsu Amarah .

Nafsu pada peringkat ini adalah nafsu yang belum terasah dan teracu. Jiwanya kotor dan memberontak. Apabila melakukan perbuatan disa, dia tidak berasa itu dosa.  Kemudian, dia melakukan pelbagai kesalahan dan penganiayaan, tetapi malangnya dia langsung tidak berasa bersalah.  Ulama menyifatkan jiwa mereka seperti haiwan yang membuang najsi tetapi tidak beristinjak dan tidak pula berasa kotor.  Dia makan sembarangan hinggakan hak orang lain pun diambil. Kumpulan ini berada ditahap jiwa kacau yang paling kritikal. Mereka berasakan mereka bahagia tetapi sebenarnya menipu diri sendiri. Hati mereka gelap kerana tidak pernah cuba mencari terapi untuk jiwa yang kosong.

2. Nafsu Lawwamah

Pada peringkat ini, orang yang memiliki jiwa ini akan selalu rasa sesal atas perbuatan atau dosa yang dilakukan. Namun, sayangnya, setelah bertaubat, dia masih mengulang kembali dosanya.  Jiwanya tidak sekeras jiwa yang berada pada tingkat AMarah. Cuma jiwanya harus dibentuk dan dibentukan lagi. Jiwanya kacau ketika cuba berperang dengan ajakan serta godaan untuk kembali menulang dosanya.

3. Nafsu Mulhammah

Mungkin anda pernah memiliki teman, atau mungkin anda sendiri mengalami keadaan apabila anda atau teman mengalami perubaan yang semakin balik. Perubahan ini adalah kerana adanya pengalaman buruk. Misalnya, orang yang mengalami gangguan fungsi hati yang menyakitkan kerana minuman keras. Hasilnya, orang itu menjadi insaf dan tidak minum arak lagi. Atau seorang kaki judi yang jatuh miskin dan muflis akibat kekalahan.  Akhirnya kehidupannya hancur, isterinya dikahwini lelaki lain manakala anaknya diberikan kepada orang. Dia sedar dan bertaubat. Nafsu Mulhammah secara ringkasnya boleh diertikan sebagai nafsu yang diilhamkan oleh sesuatu yang lain .

"Kekacauan jiwa perlu diubati sebaik mungkin kerana ia boleh mengundang pelbagai konflik sama ada pada diri sendiri mahupun orang disekeliling "

4. Nafsu Muthmainnah

Katakan si pemabuk tadi mempertahankan kesedarannya dan bertekad untuk terus menjadi baik. Tiba-tiba dia bertemu rakannya yang pernah menjad teman baik ketika menjadi pemabuk dulu dan dia diajak untuk kembali meminum arak. Namun, dia tetap utuh dengan pendiriannya kerana jiwanya kini tenang. Kesedaran baiknya tidak goyah oleh godaan berkenaan. Maka, tergolonglah dia dalam kalangan mereka yang berjiwa Muthmainnah.

5. Nafsu al-Radhiyah.

Jika jiwa menjadi tenang, apa saja ujian yang menyakitkan tidak menjadi mudarat kepadanya. Malah, rasa sabar terhadap ujian itu meningkatkan iman serta darjatnya disisi Allah. Jiwanya akan sentiasa redha dengan segala ketentuan Allah kepadanya.

6. Nafus al-Mardhiyah

Setelah redha atau ikhlas dengan apa saja yang diturunkan Allah, kini tiba masa dia diredhai Allah. Apa saja yang ingin dilakukan akan diredhai Allah kerana setiap tindakannya dibimbing oleh wahyu dan syariat. Segala perbuatannya terlindung daripada perbuatan yang tidak diredhai.

7. Nafsu Kamilah

Ini adalah tingkat nafsu yang paling sempurna dan jarang manusia memiliki nafsu dan jiwa seperti ini. Nafsu dan jiwa ini dimiliki oleh Rasul, Nabi dan orang Soleh. Individu ini dicatatkan sebagai ahli Syurga.  Jadi, berdasarkan tingkat nafsu ini, dimanakah agaknya kedudukan jiwa kita sekarang ? Kekacauan jiwa perlu diubati sebaik mungkin kerana ia boleh mengundang pelbagai konflik sama ada diri sendiri mahupun orang di sekeliling.

Penyakit jiwa tidak dapat dipulihkan orang lain melainkan diri sendiri . Terapilah jiwa dengan mendekatkan kembali diri kepada Allah. Tunaikan solat pada awal waktu, biasakan diri dengan amalan sunat.  Allah sebaik-baik penjaga hati dan jiwa. Allah jugalah yang menghilankan segala kegelisahan yang bertaut didalam diri.

OLEH : IMAM MUDA HASSAN ADLI YAHAYA

SUMBER : HARIAN METRO (KALAM IMAM MUDA)


Monday, 28 January 2013

Tipu Daya Allah terhadap Penzalim

TIPU DAYA ALLAH TERHADAP PENZALIM.

OLEH :  IMAM MUDA MOHD HASSAN ADLI YAHAYA.

Ada masanya kita tertanya-tanya mengapa orang jahat dan suka menganiaya kadangkala seperti dibiarkan saja oleh Allah SWT untuk terus melakukan penganiayaan terhadap manusia lain? Orang yang suka berbuat jahat ini termasuk dalam golongan zalim. Mereka melakukan pelbagai penganiayaan sesama insan seperti mencuri, membunuh, merogol dan menipu.  Kadangkala ada yang melakukan kejahatan secara bersiri dan tampak sukar ditumpaskan pihak berkuasa.

Kerana itu, kerap terlintas dalam pemikiran kita seperti : "Mengapa Allah tidak mendengar doaku supaya si penganiaya ini ditimpa musibah ke atas kejahatan yang dilakukannya ?" Jika Allah tidak memakbulkan doa orang dianiaya, ia tentu bertentangan dengan sifat Allah yang Maha memakbulkan doa. Ia juga tentu bertentangan dengan maksud hadis yang menyatakan doa orang dizalimi itu tiada hijab untuk sampai terus kepada Allah. Jadi, apa sebenarnya berlaku? Mereka melakukan tipu daya terhadap manusia dengan pelbagai kajahatan dan kzaliman . Namun, mereka juga sebenarnya terlupa akan tipu daya daripada Allah ketika terus-menerus melakukan kemungkaran .

BALASAN ORANG ZALIM . 


Tipu daya Allah dalam konteks ini merujuk kepada satu istilah Arab yang dipanggil sebagai 'istidraj'. Istidraj berlaku kepada orang yang zalim apabila Allah mengurniakan nikmat kepada mereka supaya terus lalai dan dibuai dengan kenikmatan berkenaan . Istidraj adalah lawan kepada mukjizat yang dikurniakan kepada nabi dan rasul seperti kebolehan Nabi Isa menyembuhkann penglihatan seorang yang buta pada zamannya. Istidraj pula adalah seperti Firaun yang tidak pernah sakit sepanjang hayatnya.

Nikmat tidak dikurniakan Allah kepada orang mukmin sahaja, sebaliknya turut dikurniakan kepada yang zalim . Namun, bagi mukmin, segala nikmat itu akan menjadikan mereka semakin bersyukur. Sementara bagi orang yang zalim, nikmat itu akan membuatkan mereka hanyut dan berasa seronok dengan kejahatan yang dilakukan . Ini yang digelar sebagai Istidraj atau tipu daya Allah . Mereka berasa aman dan tidak bersalah dengan kezaliman yang dilakukan . Mereka menipu dalam arus niaga dan menyusahkan orang lain atas penipuan yang mereka lakukan .

" Jika anda dizalimi, jangan gusar dan berasa doa anda tidak didengari oleh Allah. Orang yang berlaku zalim lambat laun pasti menerima pembalasan daripada Allah ".
- IMAM MUDA MOHD HASSAN ADLI YAHAYA. -

Lebih hebat lagi, mereka tidak langsung terasa bersalah atas perbuatan mereka dan menutup kesalahan dengan menyalahkan orang lain. Tidak cukup dengan itu, ada antara mereka dengan berani dan angkuh menyatakan : " Kalaulah aku menipu, dah lama Allah turunkan bala kepada aku. Kau tengok dari dulu sampai sekarang, aku sihat saja, malah perniagaan semakin maju."

Maka tergolonglah mereka dalam kalangan orang kafir, fasik atau munafik. Istidraj itu akan menghancurkan mereka pada hari akhirat dengan azab yang tiada tolok bandingnya. Mereka akan sesat dalam perjalanan pada hari akhirat sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Hadid ayat 13-14 yang bermaksud : "(ingatlah) semasa orang munafik, lelaki dan perempuan (yang meraba-raba dalam gelap-gelita pada hari kiamat), berkata kepada orang yang beriman ; tunggulah kami, biarlah kami mengambil sedikit dari cahaya kamu.

"(Lalu) dikatakan (kepada mereka secara mengejek-ejek); baliklah kamu kebelakang, kemudian carilah cahaya di sana, serta diadakan antara mereka (yang beriman dan yang munafik itu) sebuah tembok yang mempunyai pintu, disebelah dalamnya mengandungi rahmat ( Syurga dan nikmat) dan disebelah luarnya, dari situ terdapat (neraka) dan azab seksa.

"( Pada saat itu) mereka (munafik) menyeru kepada orang yang beriman (sambil berkata) ; Bukankah kami bercampur gaul dengan kamu (didunia dulu)? Orang yang beriman menjawab ; Benar ! Tetapi kamu membinasakan diri kamu (dengan perbuatan munafik) dan kamu menunggu-nunggu (kebinasaan umat Islam) dan kamu pula ragu-ragu (terhadap perkara agama) serta diperdayakan oleh angan-angan kosong (untuk mencapai maksud kamu)..."

Jika anda dizalimi, jangan gusar dan berasa doa anda tidak didengari Allah. Orang yang berlaku zalim lambat laun pasti menerima pembalasan daripada Allah . Malah, di akhirat kelak, pasti mereka akan mengalami kesengsaraan berterusan lantaran perbuatan mereka .

SUMBER : HARIAN METRO

Friday, 25 January 2013

Usrah Perlu Ikut Adabnya

Usrah yang berkesan adalah usrah yang mampu mencapai sasaran matlamatnya. Namun, adakah kehadiran le majlis ilmu ini berjaya meningkatkan penghayatan anda terhadap islam dengan lebih mendalam ?
Untuk membentuk usrah yang berkesan, ada beberapa :-

TIP DAN PANDUAN USRAH OLEH IMAM MUDA HASSAN ADLI YAHAYA.


  1. Datang ke majlis usrah dengan niat yang ikhlas untuk mencari dan mengharapkan keredhaan Allah s.w.t.     Hendaklah anda mengingati firman Allah : " Dan tidaklah mereka itu diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus dan supaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus". ( Al-Bayyinah, ayat 5).
  2. Hadir ke majlis pada waktu yang telah dijanjikan atau ditetapkan. Kelewatan seseorang itu menyebabkan perjalanan majlis mungkin tergendala dan anggota-anggota lain dalam keadaan tertunggu-tunggu. Rasulullah SAW bersabda,

    " Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga : (1) apabila bercakap ia berdusta, (2) apabila berjanji ia menyalahi janji, dan (3) apabila diberi amanah ia mengkhianati amanah".
  3. Hadir ke majlis usrah dalam keadaan berwuduk dan memakai pakaian yang bersih dan sempurna. Rasulullah SAW bersabda , " Sesungguhnya (apabila) kamu datang kepada saudara-saudara kamu, maka perelokkan 'rihal' (barang-barang) kamu dan perelokkanlah pakaian kamu sehingga kamu menjadi 'syammah' (tanda) dikalangan manusia. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada perkara keji dan tidak kepada keadaan yang tidak teratur".
  4. Hadir ke majlis usrah dengan membawa atau menyediakan keperluan lazim bagi majlis ilmu itu terutamanya al-Quran, teks usrah , buku catatan usrah , Al-kitab rujukan dan seumpamanya. Pembelajaran dan pengamatan berdasarkan teks atau kitab tertentu adalah lebih baik kesannya dan memudahkan seseorang itu membuat rujukan dikemudian hari disamping tidak mengganggu para sahabat yang lain kerana terpaksa berkongsi kitab.
  5. Datang ke majlis usrah dengan persediaan yang diamanahkan setelah ahli usrah telah menyanggupi amanah tersebut kerana Allah s.w.t mengingatkan : Firman Allah s.w.t, " Dan hendaklah kamu memenuhi janji tersebut, kerana sesungguhnya perjanjian adalah dipertanggungjawabkan. " ( Al-Isra ayat 34)
  6. Usrah melahirkan 'keluarga' yang dapat menolong kita daripada melakukan kesilapan dan dosa, saling tegur-menegur, saling membantu serta saling memahami dan memberi kafahaman dengan semangat dan rasa penuh kasih sayang. Ia menjadi medan untuk ahlinya bersama-sama menjalani satu proses pembentukan yang dibina atas semangat al-ukhuwah al-Islamiyah.
  7. Proses pembentukan itu bermakna penekanan dan perbincangan dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh. Penekanan itu ialah terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan Islam sebagai sistem yang lengkap lagi melengkapi. Penekanan ini akan melahirkan semangat juang dan kekuatan serta ketahanan secara berjemaah.
  8. Seluruh ahli usrah diantara ahli mahupun denga ketua ( Naqib, Naqibah) saling kenal mengenali. Naqib perlu tahu dan wajib mengafal nama ahli usrah mereka. Jika boleh bukan sekadar nama tetapi kenal dengan tuan empunya nama dan mengetahui serba sikit latar belakang ahlinya.
  9.  Usrah yang dilalui satu kelompok pendidikan yang melahirkan 'alimin' (orang yang bekerja) dan bukannya sekadar 'munafikin' (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.
  10. Ketua ( Naqib, Naqibah) perlu menjadi dirinya sendiri. Kegagalan besar seorang Naqib atau Naqibah ialah apabila dia cuba membentuk ahli usrah unruk menjadi seperti dirinya dan bukan mengenalkan  ahli usrah siapa sebenar diri mereka.
  11. Setiap ahli usrah perlu jujur dan menundukkan ego masing-masing. Perlu membetulkan niat bahawa kita semua adalah sama, tidak kira pangkat atau rupa. Tidak mengira kedudukan, walaupun diluar mereka adalah bos atau anak buah tetapi apabila didalam kumpulan usrah kedudukannya sama sahaja.
     
  12. Setiap ahli usrah termasuklah ketua tidak merasa diri jauh lebih baik atau hebat ilmunya daridapa ahli lain.
  13. Naqib atau Naqibah dan setiap ahli usrah mesti berlapang dada didalam menyuarakan pandangan.  Terima teguran seadanya kerana salah satu matlamat adalah untuk memperbaiki kelemahan diri, " Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang paling baik. "
  14. Naqib atau Naqibah adalah sebagai contoh yang boleh diikuti daripada segi akhlak dan ibadahnya. Cakapnya bukan kosong, kata-katanya selari dengan apa yang diperkatakan.
  15. Naqib atau Naqibah mestilah bersifat lemah lembut dan belas kasihan. Allah itu Maha Pemurah dan Maha Mengasihani. Sifat ini perlu ada pada Naqib/Naqibah supaya ia disayangi oleh ahli usrahnya.
  16. Mestilah menggunakan peranan 'eye contact' dalam komunikasi. Dari mata yang ikhlas akan turun ke hati.
  17. Saling menziarahi di antara ahli usrah jika ada di antara mereka dalam keadaan yang menguzurkan kerana ia akan memberi kekuatan kepadanya.
  18. Naqib atau Naqibah perlu ada sifat tawaduk dalam diri atau mempunyai sikap rendah diri.
  19. Naqib atau Naqibah adalah sebagai contoh yang boleh diikuti daripada segi akhlak dan ibadahnya. Cakapnya bukan kosong dan kata-katanya selari dengan apa yang diperkatakan.
  20. Menghadiri majlis usrah dengan membuat persediaan dan kajian terhadap bahan-bahan yang akan disampaikan dan dibincangkan dalam usrah. Dengan adanya minit dan agenda tersendiri, usrah itu tidak akan melencong kepada percakapan yang sia-sia dan merugikan .