Sunday 17 February 2013

Mengenali Empat Mazhab Utama

Mazhab merujuk kepada madrasah atau aliran fiqh bagi mentafsirkan syariat dan pengambilan hukum daripadanya.  Ia membabitkan  metodologi fiqh dalam beristinbat (mengeluarkan hukum) dan mengetahui hukum.  Mazhab bukan syariat baru dan bukan sesuatu yang lain daripada Islam. Syariat menjadi hujah ke atas mazhab, bukan mazhab yang menjadi hujah ke atas syariat Islam.

Bagi seseorang yang mengikut mazhab, diharuskan mengikut mazhab lain dalam sesetengah masalah kerana tidak wajib dia terikat dengan semua ijtihad mazhab yang menjadi ikutannya. Tetapi ikutan kepada mazhab lain mesti berasaskan dalil kuat mendorongnya beralih. Malah, dia juga harus bertanya kepada alim ulama lain daripada mazhabnya mengenai hukum syarak dalam apa jua masalah dan beramal dengan fatwanya .

Dalam bermazhab, kita tidak harus menyempitkan dengan adanya perbezaam pandangan dan ijtihad mazhab kerana perbezaan kefahaman itu adalah perkara tabii kepada manusia. Antara mazhab muktabar ialah Syafie, Maliki, Hanafi dan Hanbali. Empat mazhab ini mempunyai peraturan, kaedah dan panduan yang sempurna lagi lengkap yang ditulis oleh mereka dalam kitab masing-masing.

Mazhab Syafie : 

Diasaskan oleh Muhamad bin Idris as-Syafie. Beliau penyokong kepada ilmu hadis dan pembaharuan dalam agama (mujaddid) bagi abad kedua Hijrah. Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata : "Diceritakan kepada Nabi Muhammad bahawa Allah menghantar kepada umat ini seorang pembaharu agama, Umar bin Abdul Aziz dihantar untuk abad pertama dan aku harap Imam Syafie adalah Mujadid abad yang kedua . "

Mazhab Hanafi :

Diasaskan oleh Nu'man bin Tsabit. Beliau adalah seorang berjiwa besar dan berakhlak tinggi. Beliau juga seorang yang bijak dalam ilmu pengetahuan, cekap memberikan satu-satu keputusan bagi masalah dihadapi. Imam Abu Hanifah terkenal sebagai seorang alim dalam ilmu fiqh di Iraq. Beliau juga ketua ahli fikir. Golongan cerdik pandai ketika itu menyifatkan beliau sebagai "akal ilmu pengetahuan". Ketika hayatnya, beliau mengikuti pelbagai perkembangan ilmu pengetahuan, baik dibidang ilmu dan politik mahupun ilmu agama. Beliau hidup dalam dua zaman pemerintahan Umaiyah dan Abbasiyah.

Mazhab Maliki :

Diasaskan oleh Malik bin Anas. Beliau lahir di Kota Madinah, 13 tahun selepas kelahiran Imam Abu Hanifah.  Imam malik menhafaz al-Quran dan Hadis. ingatannya sangat kuat.. Beliau mendengar hadis daripada guru, disimpulkan tali bagi menyenangkan menghitung bilangan hadis dipelajarinya.  Beliau dianggap ketua atau imam ilmu hadis. Sanad (sandaran) yang dibawa oleh beliau, termasuk salah satu sanad terbaik dan benar. Imam Malik adalah seorang yang dipercayai, adil dan kuat ingatannya serta cermat memilih rawi hadis.

Hukum fiqh yang diberikan oleh Imam Malik berdasarkan al-Quran dan Hadis. Beliau menjadikan hadis sebagai pembantu bagi memahami al-Quran. Beliau juga sangat cermat memberi penerangan dan hukum .

Mazhab Hanbali :

Diasaskan oleh Ahmad bin Muhamad bin Hanbal, lahir diKota Baghdad pada tahun 164 Hijrah. Beliau menuntut ilmu sepanjang hayat dan mempelajari hadis hingga menjadi seorang imam.  Ada yang bertanya : " Sampai bilakah engkau mahu menuntut ilmu, padahal engkau sudah mencapai darjat tertinggi ?".  Imam Ibnu Hanbal menjawab :"Aku menuntut ilmu dari hujung dunia hingga ke pintu kubur."

Memang benar beliau tidak pernah jemu menuntut ilmu sepanjang hayatnya. Imam Syafie adalah seorang daripada guru beliau. Ibnu Hanbal bertemu Imam Syafie di Hijaz, sewaktu menunaikan haji. Pada waktu itu, Imam Syafie mengajar di Masjidil Haram. Mereka kemudian bertemu kali kedua di Baghdad.

SUMBER : HARIAN METRO 

No comments:

Post a Comment