Sunday, 17 February 2013

Solat terapi jiwa paling berkesan

Ketika diri berasa tidak aman dan tidak tenteram,pasti ada sesuatu yang melanda kesejahteraan jiwa dan memerlukan kita untuk bermuhasabah diri. Menerusi muhasabah diri, kita akan mengenal pasti dimana tingkat jiwa kita.  Jiwa disebut dalam al-Quran sebagai "Nafs". Nafs dinyatakan sebanyak 295 kali ini merujuk kepada roh, jiwa, diri, nyawa. Tentu sekali ia juga berkait dengan kehidupan dan kematian seorang insan.

Ulama pada zaman dulu mengkelaskan tingkatan jiwa atau nafsu yang berbeza-beza dan wujud dalam diri manusia. Ulama membahagikan nafsu dan jiwa ini kepada tujuh bahagia. :-

1. Nafsu Amarah .

Nafsu pada peringkat ini adalah nafsu yang belum terasah dan teracu. Jiwanya kotor dan memberontak. Apabila melakukan perbuatan disa, dia tidak berasa itu dosa.  Kemudian, dia melakukan pelbagai kesalahan dan penganiayaan, tetapi malangnya dia langsung tidak berasa bersalah.  Ulama menyifatkan jiwa mereka seperti haiwan yang membuang najsi tetapi tidak beristinjak dan tidak pula berasa kotor.  Dia makan sembarangan hinggakan hak orang lain pun diambil. Kumpulan ini berada ditahap jiwa kacau yang paling kritikal. Mereka berasakan mereka bahagia tetapi sebenarnya menipu diri sendiri. Hati mereka gelap kerana tidak pernah cuba mencari terapi untuk jiwa yang kosong.

2. Nafsu Lawwamah

Pada peringkat ini, orang yang memiliki jiwa ini akan selalu rasa sesal atas perbuatan atau dosa yang dilakukan. Namun, sayangnya, setelah bertaubat, dia masih mengulang kembali dosanya.  Jiwanya tidak sekeras jiwa yang berada pada tingkat AMarah. Cuma jiwanya harus dibentuk dan dibentukan lagi. Jiwanya kacau ketika cuba berperang dengan ajakan serta godaan untuk kembali menulang dosanya.

3. Nafsu Mulhammah

Mungkin anda pernah memiliki teman, atau mungkin anda sendiri mengalami keadaan apabila anda atau teman mengalami perubaan yang semakin balik. Perubahan ini adalah kerana adanya pengalaman buruk. Misalnya, orang yang mengalami gangguan fungsi hati yang menyakitkan kerana minuman keras. Hasilnya, orang itu menjadi insaf dan tidak minum arak lagi. Atau seorang kaki judi yang jatuh miskin dan muflis akibat kekalahan.  Akhirnya kehidupannya hancur, isterinya dikahwini lelaki lain manakala anaknya diberikan kepada orang. Dia sedar dan bertaubat. Nafsu Mulhammah secara ringkasnya boleh diertikan sebagai nafsu yang diilhamkan oleh sesuatu yang lain .

"Kekacauan jiwa perlu diubati sebaik mungkin kerana ia boleh mengundang pelbagai konflik sama ada pada diri sendiri mahupun orang disekeliling "

4. Nafsu Muthmainnah

Katakan si pemabuk tadi mempertahankan kesedarannya dan bertekad untuk terus menjadi baik. Tiba-tiba dia bertemu rakannya yang pernah menjad teman baik ketika menjadi pemabuk dulu dan dia diajak untuk kembali meminum arak. Namun, dia tetap utuh dengan pendiriannya kerana jiwanya kini tenang. Kesedaran baiknya tidak goyah oleh godaan berkenaan. Maka, tergolonglah dia dalam kalangan mereka yang berjiwa Muthmainnah.

5. Nafsu al-Radhiyah.

Jika jiwa menjadi tenang, apa saja ujian yang menyakitkan tidak menjadi mudarat kepadanya. Malah, rasa sabar terhadap ujian itu meningkatkan iman serta darjatnya disisi Allah. Jiwanya akan sentiasa redha dengan segala ketentuan Allah kepadanya.

6. Nafus al-Mardhiyah

Setelah redha atau ikhlas dengan apa saja yang diturunkan Allah, kini tiba masa dia diredhai Allah. Apa saja yang ingin dilakukan akan diredhai Allah kerana setiap tindakannya dibimbing oleh wahyu dan syariat. Segala perbuatannya terlindung daripada perbuatan yang tidak diredhai.

7. Nafsu Kamilah

Ini adalah tingkat nafsu yang paling sempurna dan jarang manusia memiliki nafsu dan jiwa seperti ini. Nafsu dan jiwa ini dimiliki oleh Rasul, Nabi dan orang Soleh. Individu ini dicatatkan sebagai ahli Syurga.  Jadi, berdasarkan tingkat nafsu ini, dimanakah agaknya kedudukan jiwa kita sekarang ? Kekacauan jiwa perlu diubati sebaik mungkin kerana ia boleh mengundang pelbagai konflik sama ada diri sendiri mahupun orang di sekeliling.

Penyakit jiwa tidak dapat dipulihkan orang lain melainkan diri sendiri . Terapilah jiwa dengan mendekatkan kembali diri kepada Allah. Tunaikan solat pada awal waktu, biasakan diri dengan amalan sunat.  Allah sebaik-baik penjaga hati dan jiwa. Allah jugalah yang menghilankan segala kegelisahan yang bertaut didalam diri.

OLEH : IMAM MUDA HASSAN ADLI YAHAYA

SUMBER : HARIAN METRO (KALAM IMAM MUDA)


No comments:

Post a Comment