Monday 4 February 2013

Ibn Bajjah

BAJJAH SETARAF ARISTOTLE, FARABI

Kedatangan Islam di Sepanyol sejak zaman sahabat banyak mempengaruhi kehidupan masyarakat disana khususnya dalam bidang keilmuan dan ketamadunan. Kesannya masih dapat dilihat sehingga ke hari ini malah  pengaruhnya begitu jelas apabila kita melihat kepada bentuk seni bina monumen dan bangunan. 

Sebenarnya pada masa pemerintahan Islam dinegara itu, lahir ramai cendiakawan dalam pelbagai bidang seperti falsafah, perubatan, matematik, sastera mahupun astronomi. Ibu Bajjah seorang daripada ilmuan terbabit. Nama sebenar beliau ialah Abu Bakr Muhammad Ibn Yahya al-Saigh yang dilahirkan di Saragossa pada 1082Masihi dan meninggal pada 1138 Masihi.  Walaupun usianya tidak panjang, beliau memiliki ilmu, kemahiran dan bakat dalam pelbagai bidang . Malah, beliau terkenal sebagai seorang sasterawan dan ahli bahasa yang unggul sehingga pernah menjadi penyair bagi golongan al-Murabbitin yang dipimpin Abu Bakar Ibrahim Ibn Tafalwit.

"Ibn Bajjah seorang ilmuan agung yang tiada bandingannya pada zamannya di Sepanyol."

Pada masa sama, beliau dikenali sebagai seorang ahli muzik dan pemain gambus yang handal. Namun, beliau juga seorang hafiz al-Quran dan terkenal sebagai seorang doktor.  Beliau turut berkebolehan dalam politik sehingga dilantik menjadi menteri pada masa Abu Bakar Ibrahim berkuasa di Saragossa. Selain itu, beliau menguasai ilmu matematik, fizik dan falak. Kemampuannya menguasai pelbagai disiplin ilmu menjadikannya seorang ilmuwan agung, malah dikatakan tiada bandingan di Sepanyol ketika itu. 

Dalam bidang falsafah misalnya, ada pihak mengatakan Ibn Bajjah diletakkan setaraf al-Farabi dan Aristotle.  Beliau mengemukakan gagasan falsafah ketuhanan yang menetapkan bahawa manusia boleh berhubung dengan akal fa'al melalui perantaraan ilmu pengetahuan dan pembangunan potensi manusia. Menurutnya, manusia boleh mendekati Tuhan melalui amalan berfikir dan tidak semestinya melalui amalan tasawuf yang dikemukakan Imam al-Ghazali.  

Dengan ilmu dan amalam berfikir, segala keutamaan dan perbuatan moral dapat diarahkan untuk memimpin serta menguasai jiwa. Usaha ini boleh menumpaskan sifat haiwaniah yang bersarang didalam hati dan diri manusia.  Berdasarkan pendapatnya, seseorang itu harus mengupayakan perjuangannya untuk berhubung dengan alam sama ada bersama-sama dengan masyarakatnya ataupun secara terpisah. Jika masyarakat tidak baik, seseorang itu harus menyepi dan menyendiri. Pandangan falsafah Ibn Bajjah ini jelas dipengaruhi idea al-Farabi. 

Pemikiran falsafah Ibn Bajjah ini dapat diikuti dalam 'Risalah al-Wida' dan kitab 'Tadbir al-Mutawwahid' yang secara umumnya adalah pembelaan kepada karya al-Farabi dan Ibn Sina kecuali bahagian yang berkenaan dengan sistem menyendiri dan menyepi.  Namun ada sesetengah pengkaji mengatakan kitab itu sama dengan buku 'Al-Madinah al Fadhilah' yang ditulis al-Farabi. Dalam buku itu, al Farabi menjelaskan pandangan beliau mengenai politik dan falsafah. Al- Farabi sewaktu membicarakan mengenai politik mencadangkan supaya sebuah negara kebajikan diketuai ahli falsafah diwujudkan . 

Satu persamaan yang ketara antara al-Farabi dengan Ibn Bajjah ialah kedua-duanya meletakkan ilmu mengatasi segala-galanya. Mereka hampir sependapat yang akal dan wahyu adalah satu hakikat yang padu. Malah, sebarang percubaan untuk memisahkan kedua-duanya hanya akan melahirkan masyarakat dan negara yang pincang. Jesteru, akal dan wahyu harus menjadi asas pembinaan sesebuah negara serta masyarakat yang bahagia.  Ibn Bajjah juga menulis buku berkaitan jiwa judul 'al-Nafs', namun ia banyak dipengaruhi gagasan pemikiran falsafah yunani. Oleh itu, beliau dikatakan banyak membuat ulasan terhadap karya dan hasil tulisan Aristotle, Galenos, al-Farabi dan al-Razi. 


SUMBER : HARIAN METRO 31 JAN 2013 (ADDIN)



No comments:

Post a Comment