Monday, 28 January 2013

Tipu Daya Allah terhadap Penzalim

TIPU DAYA ALLAH TERHADAP PENZALIM.

OLEH :  IMAM MUDA MOHD HASSAN ADLI YAHAYA.

Ada masanya kita tertanya-tanya mengapa orang jahat dan suka menganiaya kadangkala seperti dibiarkan saja oleh Allah SWT untuk terus melakukan penganiayaan terhadap manusia lain? Orang yang suka berbuat jahat ini termasuk dalam golongan zalim. Mereka melakukan pelbagai penganiayaan sesama insan seperti mencuri, membunuh, merogol dan menipu.  Kadangkala ada yang melakukan kejahatan secara bersiri dan tampak sukar ditumpaskan pihak berkuasa.

Kerana itu, kerap terlintas dalam pemikiran kita seperti : "Mengapa Allah tidak mendengar doaku supaya si penganiaya ini ditimpa musibah ke atas kejahatan yang dilakukannya ?" Jika Allah tidak memakbulkan doa orang dianiaya, ia tentu bertentangan dengan sifat Allah yang Maha memakbulkan doa. Ia juga tentu bertentangan dengan maksud hadis yang menyatakan doa orang dizalimi itu tiada hijab untuk sampai terus kepada Allah. Jadi, apa sebenarnya berlaku? Mereka melakukan tipu daya terhadap manusia dengan pelbagai kajahatan dan kzaliman . Namun, mereka juga sebenarnya terlupa akan tipu daya daripada Allah ketika terus-menerus melakukan kemungkaran .

BALASAN ORANG ZALIM . 


Tipu daya Allah dalam konteks ini merujuk kepada satu istilah Arab yang dipanggil sebagai 'istidraj'. Istidraj berlaku kepada orang yang zalim apabila Allah mengurniakan nikmat kepada mereka supaya terus lalai dan dibuai dengan kenikmatan berkenaan . Istidraj adalah lawan kepada mukjizat yang dikurniakan kepada nabi dan rasul seperti kebolehan Nabi Isa menyembuhkann penglihatan seorang yang buta pada zamannya. Istidraj pula adalah seperti Firaun yang tidak pernah sakit sepanjang hayatnya.

Nikmat tidak dikurniakan Allah kepada orang mukmin sahaja, sebaliknya turut dikurniakan kepada yang zalim . Namun, bagi mukmin, segala nikmat itu akan menjadikan mereka semakin bersyukur. Sementara bagi orang yang zalim, nikmat itu akan membuatkan mereka hanyut dan berasa seronok dengan kejahatan yang dilakukan . Ini yang digelar sebagai Istidraj atau tipu daya Allah . Mereka berasa aman dan tidak bersalah dengan kezaliman yang dilakukan . Mereka menipu dalam arus niaga dan menyusahkan orang lain atas penipuan yang mereka lakukan .

" Jika anda dizalimi, jangan gusar dan berasa doa anda tidak didengari oleh Allah. Orang yang berlaku zalim lambat laun pasti menerima pembalasan daripada Allah ".
- IMAM MUDA MOHD HASSAN ADLI YAHAYA. -

Lebih hebat lagi, mereka tidak langsung terasa bersalah atas perbuatan mereka dan menutup kesalahan dengan menyalahkan orang lain. Tidak cukup dengan itu, ada antara mereka dengan berani dan angkuh menyatakan : " Kalaulah aku menipu, dah lama Allah turunkan bala kepada aku. Kau tengok dari dulu sampai sekarang, aku sihat saja, malah perniagaan semakin maju."

Maka tergolonglah mereka dalam kalangan orang kafir, fasik atau munafik. Istidraj itu akan menghancurkan mereka pada hari akhirat dengan azab yang tiada tolok bandingnya. Mereka akan sesat dalam perjalanan pada hari akhirat sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Hadid ayat 13-14 yang bermaksud : "(ingatlah) semasa orang munafik, lelaki dan perempuan (yang meraba-raba dalam gelap-gelita pada hari kiamat), berkata kepada orang yang beriman ; tunggulah kami, biarlah kami mengambil sedikit dari cahaya kamu.

"(Lalu) dikatakan (kepada mereka secara mengejek-ejek); baliklah kamu kebelakang, kemudian carilah cahaya di sana, serta diadakan antara mereka (yang beriman dan yang munafik itu) sebuah tembok yang mempunyai pintu, disebelah dalamnya mengandungi rahmat ( Syurga dan nikmat) dan disebelah luarnya, dari situ terdapat (neraka) dan azab seksa.

"( Pada saat itu) mereka (munafik) menyeru kepada orang yang beriman (sambil berkata) ; Bukankah kami bercampur gaul dengan kamu (didunia dulu)? Orang yang beriman menjawab ; Benar ! Tetapi kamu membinasakan diri kamu (dengan perbuatan munafik) dan kamu menunggu-nunggu (kebinasaan umat Islam) dan kamu pula ragu-ragu (terhadap perkara agama) serta diperdayakan oleh angan-angan kosong (untuk mencapai maksud kamu)..."

Jika anda dizalimi, jangan gusar dan berasa doa anda tidak didengari Allah. Orang yang berlaku zalim lambat laun pasti menerima pembalasan daripada Allah . Malah, di akhirat kelak, pasti mereka akan mengalami kesengsaraan berterusan lantaran perbuatan mereka .

SUMBER : HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment