Friday 25 January 2013

Umm 'Umara

SEMANGAT UMM 'UMARA TIDAK PERNAH PUDAR.

Umm 'Umara terlibat dalam banyak peperangan antaranya ialah al-Hudaibiyyah, Khaibar, Hunain dan Peperangan Yamama. Namun peranan yang paling mulia ketika peperangan Uhud. Beliau menyertai peperangan tersebut bersama suaminya, Ghaziya dan dua orang anak lelaki. Tugas yang dipertanggungjawabkan adalah untuk memberi air kepada Mujahid yang cedera.  Seperti tertera dalam sejarah Perang Uhud, ketika Islam sedang menguasai perang dan melihat tentera Quraish lari meninggalkan medan perang, pasukan pemanah yang berada di atas bukit mula berkejaran mendapaatkan harta-benda rampasan perang sekali gus melanggar arahan Rasulullah SAW supaya tetap di posisi mereka diatas bukit.

PERTAHANKAN RASULULLAH SAW

Khalid bin Walid ( yang ketika itu belum lagi memeluk Islam), apabila melihat benteng pertahanan yang terbuka itu lantas mengepalai serangan balas ke atas Tentera Islam. Penguasaaan peperangan beralih kepada pihak Quraish. Dalam suasana kelam-kabut itu, ramai dikalangan Tentera Islam panik dan berundur, meninggalkan Rasulullah bersama-sama sekumpulan kecil para sahabat.  Di kalangan mereka ini termasuklah Umm 'Umara.  Melihatkan ramai daripada kalangan Tentera Islam yang berundur, Umm 'Umara lantas berlari ke arah Rasulullah dan mengangkat senjata demi mempertahankan baginda bersama-sama suami dan dua orang anak lelakinya.

Rasulullah menyedari yang Umm 'Umara tidak mempunyai perisai lantas baginda mengarahkan salah seorang daripada mereka yang sedang berundur supaya memberikan perisainya kepada Umm 'Umara yang sedang bertarung . Setelah mendapat perisai tersebut, Umm 'Umara mempertahankan Rasulullah menggunakannya bersama-sama dengan busur, anak panah dan juga pedang. Umm 'Umara diserang oleh tentera berkuda tetapi beliau tidak sekalipun gentar atau berasa gerun. Beliau kemudiannya telah berkata, ' Sekiranya mereka itu tidak berkuda seperti kami, nescaya telah kami hancurkan mereka, Insya-Allah'.  Abdullah Ibn Zayed, anak lelaki beliau telah mengalami kecederaan ketika perang tersebut. Ibunya berlari lalu membalut lukanya yang banyak itu kemudian memerintahkan anak lelakinya, " Maralah dan perangi mereka, anakku!".

Tiba-tiba lelaki yang telah mencederakan anak lelakinya mara dan Rasulullah SAW berkata kepada beliau bahawa inilah lelaki yang mencederakan anaknya. Setelah lelaki tersebut ditewaskan, Rasulullah kemudiannya berkata " Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kamu kemenangan dan menggembirakan kamu atas musuh kamu dan membolehkan kamu menuntut bela." Serangan tidak terhenti setakat itu, melihat Rasulullah sedang keseorangan, pihak musuh, Ibn Qumay'a segera menyerang sambil menjerit " Tunjukkan Muhammad kepadaku! Aku takkan selamat sekiranya dia diselamatkan!".

Lantas Mus'ab Ibn 'Umayr, bersama-sama dengan beberapa orang sahabat yang lain, bergegas mempertahankan Rasulullah. Umm 'Umara yang turut bersama-sama dengan mereka terus menetak musuh Allah itu, walaupun dia memakai dua lapis baju besi. Ibn Qumay'a berjaya menetakkan bahagian leher Umm 'Umara, meninggalkan luka yang teruk . Pada hari tersebut, Umm 'Umara menerima tiga belas luka dan luka dilehernya terpaksa dirawat selama setahun. Beliau kemudiannya juga menyertai Peperangan Yamama, dimana beliau menerima sebelas luka dan kehilangan tangan .

Rasulullah mengagumi semangat pengorbanan dan memuji beliau, " Siapakah yang boleh menanggung apa yang kamu mampu tanggung, Umm 'Umara!"

JADIKAN IKTIBAR

Mungkin kita tidak dapat menandingi perjuangan Umm 'Umara yang berada di zaman Rasulullah namun kita boleh menghampiri sifatnya yang tidak pernah kalah sebelum berjuang walaupun tugas sebenarnya adalah memberi air kepada mujahidin sahaja. Adaptasikan nilai-nilai perjuangan dalam kehidupan kita seharian, membantu dengan menyumbang wang ringgit kepada penderitaan rakyat disana yang sedang berperang mampu memberi nilai pertolongan yang sungguh indah.

Berilah sumbangan yang termampu kepada mereka. Jika tidak mampu anda mungkin boleh memboikot barangan yang dibuat oleh Isarael. Dengan cara itu sedikit sebanyak kita memberi amaran kepada mereka bahawa kita tidak menyukai peperangan. Mungkin boikot kita tidak membawa kepada kemerosotan ekonomi mereka namun sekurang-kurangnya kita telah mencuba yang terbaik untuk kita. Jika masih tidak mampu, berdoalah kerana doa adalah senjata umat Islam yang begitu ampuh untuk memusnahkan musuh Islam. Selepas solat lima waktu, sertakan sekali doa buat saudara seagama kita.  Allah akan sentiasa berada bersama kita tatkala memberi penghormatan kepada Umm 'Umara yang menjadi perisai kepada baginda, kita juga mampu menjadi perisai kepada umat Islam yang dilanda musibah.

Inilah kehidupan Umm 'Umara, pejuang yang tetap berdiri apabila ramai yang berundur, yang mengarahkan anaknya yang cedera parah kembali menyertai peperangan yang sengit, dan yang bersedia menggadaikan nyawanya demi menyelamatkan Rasulullah SAW. Sebagai balasan, beliau menerima doa agar dijadikan dikalangan sahabat Rasulullah SAW disyurga. Moga Allah merahmati para Muslimah kita dengan keberanian, semangat pengorbanan dan istiqamah yang sedemikian .

SUMBER : MAJALAH NUR

No comments:

Post a Comment