Thursday 24 January 2013

Ibnu Sina

Ibnu Sina, Doktor Islam Terulung

Sebelum kedatangan ilmu perubatan islam, belumada lagi kaedah perubatan yang betul-betul bernilai yang telah dipraktikkan di Eropah. Sememangnya telah diakui oleh semua ahli sejarah moden bahawa perkembangan ilmu perubatan Barat sebenarnya banyak diperngaruhi oleh perubatan Islam. Di Eropah pada abad ke-14 hingga ke-17 Masihi, ilmu perubatan Islam telah dikaji dengan teliti oleh penuntut-penuntut di Eropah dan baru seabad  yang lalu iaitu dalam abad ke-19 Masihi, perubatan Islam telah dihapuskan daripada kurikulum institusi pelajaran di sekolah dunia barat.

Berdasarkan daripada sejarah lama, Ilmu perubatan Islam telah bermula pada zaman Bani Umayyah (661-720M) tetapi kemajuan yang pesat dalam bidang perubatan berlaku pada zaman Abbasiyah (750-1258 M). Perkembangan sains dan ilmu perubatan mempunyai perhubungan erat antara satu sama lain kerana Islam amat mementingkan kesihatan umatnya.  Banyak ilmu perubatan Islam telah ditimba daripada sumber asing khasnya dari Parsi, Kristian, Yunani, India dan Mesir. Ini menyebabkan ilmu perubatan Islam lahir sebagai integrasi antara teori-teori perubatan Yunani, tradisi Hippokrates dan Galen serta pengalaman bangsa Parsi dan India. Perkembangan ilmu perubatan pada waktu tersebut juga telah melairkan ramai tokoh perubatan Islam seperti Ibn Maskawaih, Al-Razi, Abdul Qasim, Thabit Ibn Qurra dan ramai lagi.

Begitu juga dengan Ibnu Sina. Beliau merupakan salah seorang doktor Islam yang terulung juga lahir pada zaman tersebut.  Sumbangannya bukan sahaja diperakui oleh dunia Islam tetapi juga buat sarjana Barat.

PEROLEH GELARAN AL-SYEIKH AL-RAIS

Menelusuri latar belakang dirinya, Ibnu Sina telah dilahirkan pada 370 Hijrah bersamaan 980 Masihi. Nama sebenarnya ialah Abu Ali al-Hussain Ibnu Abdullah.. Di Barat, beliau lebih dikenali sebagai Avicenna.  Pengajian peringkat awalnya bermula di Bukhara dalam bidang bahasa dan sastera. Beliau juga turut mempelajari ilmu-ilmu yang lain seperti geometri, logik, matematik, sains, fikah dan perubatan. Walaupun Ibnu Sina menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk falsafah tetapi beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan. Ibnu Sina mula dikenali ramai selepas beliau berjaya menyembuhkan penyakit Putera Nub Ibn Nas Al- Samani yang gagal diubati oleh doktor lain. Kehebatan dan kepakaran dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya sehingga beliau diberikan gelaran Al-Syeikh Al-Rais ( Mahaguru pertama).

Kemasyhurannya melangkaui wilayah dan negara Islam . Bukunya Al Qanun Fil Tabib diterbitkan diRom pada 1593 sebelum dialih bahasakan ke bahasa Inggeris dengan judul Precepts of Medicine. Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun, buku tersebut telah dicetak ke dalam 15 bahasa. Pada abad ke-17,  buku itu dijadikan sebagai bahan rujukan asas di universiti Itali dan Perancis. Malah, sehingga abad ke 19, bukunya masih diulang cetak dan digunakan oleh pelajar perubatan.  Ibnu Sina juga menghasilkan buku yang diberi judul Remedies for The Heart yang mengandungi sajak perubatan. Dalam buku itu, beliau menceritakan dan menghuraikan 760 jenis penyakit bersama cara untuk mengubatinya.

Hasil tulisan Ibnu Sina sebenarnya tidak terbatas kepada ilmu perubatan sahaja, malah hasil tulisannya juga turut merangkumi bidang dan ilmu yang lain seperti metafizik, muzik, astronomi, filologi (ilmu bahasa), syair, prosa dan agama. Penguasaannya dalam pelbagai bidang ilmu itu menjadikannya sebagai seorang tokoh sarjana yang serba boleh. Beliau tidak sekadar menguasainya tetapi berjaya mencapai tahap kecemerlangan tertinggi dalam bidang yang diceburinya. Disamping terkenal dalam bidang perubatan, Ibnu Sina juga menduduki ranking tinggi dalam ilmu logik sehingga digelar guru ketiga. Dalam bidang penulisan, Ibnu Sina menghasilkan ratusan karya termasuk kumpulan risalah yang mengandungi hasil sastera kreatif.

TEORI EMPAT UNSUR 

Perkara yang lebih menakjubkan pada Ibnu Sina ialah beliau juga seorang ahli falsafah yang terkenal. Beliau pernah menulis sebuah buku berjudul Al-Najah yang membicarakan persoalan falsafah. Pemikiran falsafah Ibnu Sina banyak dipengaruhi aliran falsafah al-Farabi yang menghidupkan pemikiran Aristotle. Oleh sebab itu, pandangan perubatan Ibnu Sina turut dipengaruhi asas dan teori perubatan Yunani khususnya Hippocrates.  Perubatan Yunani berasasan teori empat unsur yang dinamakan humours iaitu darah, lendir (phlegm), hempedu kuning ( yellow bile) dan hempedu hitam ( black bile).  Menurut teori ini, kesihatan seseorang mempunyai hubungan dengan campuran keempat-empat unsur ini. Keempat-empat unsur itu harus berada pada kadar yang seimbang dan apabila keseimbangan ini diganggu maka seseorang akan mendapat penyakit.

Setiap individu dikatakan mempunyai formula keseimbangan yang berlainan. Meskipun teori itu didapati tidak tepat tetapi meletakkan satu landasan kukuh kepada dunia perubatan untuk mengenal pasti punca penyakit yang menjangkiti manusia. Ibnu Sina turut menapis teori kosmogoni Yunani ini dan mengislamkannya.  Ibnu Sina percaya bahawa setiap tubuh manusia terdiri daripada empat unsur iaitu tanah, air , api dan angin. Keempat-empat unsur ini memberikan sifat lembap, sejuk , panas dan kering serta sentiasa bergantung kepada unsur lain yang ada dalam alam ini.  Ibnu Sina percaya wujud ketahanan semula jadi dalam tubuh manusia untuk melawan penyakit. Jadi, selain keseimbangan unsur yang dinyatakan itu, manusia juga memerlukan ketahanan yang kuat dalam tubuh bagi mengekalkan kesihatan dan proses penyembuhan .

Pemikiran Ibnu Sina turut mencetuskan kontroversi dan disifatkan sebagai satu percubaan untuk membahaskan zat Allah. Al- Ghazali telah menulis sebuah buku yang berjudul Tahafat Al'Falasifah ( Tidak Ada Kesinambungan Dalam Pemikiran Ahli Falsafah) untuk membahaskan pemikiran Ibnu Sina dan Al-Farabi. Antara percanggahan yang diutarakan oleh Al-Ghazali ialah kepercayaan dalam keabadian planet bumi, penyangkalan terhadap penafian Ibnu Sina dan Al-Farabi mengenai pembangkitan jasad manusia dengan kebahagiaan dan kesengsaraan di syurga atau neraka. .

Walau apa pun pandangan yang dikemukana, sumbangan Ibnu Sina dalam perkembangan Falsafah Islam tidak dapat dinafikan. Bahkan beliau dianggap sebagai seorang yang bertanggungjawab menyusun ilmu falsafah dan sains dalam Islam.

Sumber : Majalah I ( Dis 2012)

No comments:

Post a Comment