Keluarga Halimatus Saadiah mempunyai beberapa ekor kambung. Sebelum berangkay ke Kota Mekah untuk mengambil Muhammad sebagai anak susuan, kambing-kambing peliharaannya begitu kurus dan tiada susu. Tetapi setelah kehadiran Muhammad dalam keluarga itu, kambing-kambing mereka sudah mulai gemuk dan mengeluarkan banyak susu. Setiap pagi, kambing-kambing kepunyaan Halimatus Saadiah dilepaskan untuk mencari makanan. Dan pulang kekandangnya dengan perut yang penuh dengan makanan.
Jiran tetangga yang turut memelihara kambing berasa hairan, kerana kambing-kambing Halimatus Saadiah pulang dengan perut yang kenyang sedangkan kambing mereka masih lagi kelaparan . Kambing-kambing kepunyaan Halimatus Saadiah juga mengeluarkan susu yang banyak sedangkan kambing mereka masih kering susunya. Mereka berasa iri hati lalu melepaskan kambing-kambing mereka ditempat dimana kambing Halimatus Saadiah dilepaskan dengan harapan kambing mereka turut mendapat makanan yang cukup dan mengeluarkan susu yang banyak . Tetapi mereka kehairanan kerana kambing2 mereka pulang dengan perut yang kempis sedangkan kambing2 Halimatus Saadiah pulang dengan perut yang kekenyangan.
Halimatus Saadiah bersama suaminya Abu Khabsyah dan anak perempuan mereka bernama Asy Syima' berasa gembira dengan kehadiran Muhammad dalam keluarga mereka, Allah telah mencurahkan rezeki yang melimpah ruah tanpa dapat difikirkan bagaimana ianya boleh berlaku . Lantas, Halimatus Saadiah dan suaminya memelihara dan menjaga Muhammad dengan sempurna dan baik sekali . Mereka menyayanginya lebih daripada anak sendiri . Tambahan pula, Muhammad membesar dengan baik tanpa banyak menimbulkan masalah .
ANAK YANG ISTIMEWA
Desa Bani Saad terkenal dengan pemandangannya yang cantik dan udaranya yang bersih . Dan di desa itulah Nabi Muhamad s.a.w dibesarkan hingga menjadi seorang anak yang sihat, cantik dan bersih kulitnya. Menurut Halimatus Saadiah, Nabi Muhammad mula disusui sejak umurnya beberapa minggu sehinggalah berhenti menyusu ketika berumur dua tahun. Proses pembesaran tubuhnya begitu luar biasa sekali. Ketika berusai dua tahun bahannya sudah begitu keras dan kuat . Muhammad membesar menjadi anak yang berbeza dengan teman yang sebaya dengannya. Badannya kuat dan tegap, wajahnya menawan kepada sesiapa yang memandangnya.
Setelah genap dua tahun, Halimatus Saadiah merasakan tugasnya memelihara dan menyusukan Muhammad telah selesai. Kerana itu dia bercadang mahu menghantar Muhammad ke pangkuan bondanya Siti Aminah di Kota Mekah . Maka berangkatlah Halimatus Saadiah bersama suaminya Abu Khabsyah dan anak perempuannya Asy Syima' ke Kota Mekah dengan membawa Muhammad. Kemudian Halimatus Saadiah menyerahkan Muhammad kepada ibunya Siti Aminah. Alangkah gembiranya Siti Aminah apabila melihat anaknya yang sihat dan cantik wajahnya. Dia mengucapkan terima kasih serta memberi pelbagai hadiah kepada Halimatus Saadiah .
HATI KOSONG KERINDUAN
Dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Desa Bani Saad, Halimatus Saadiah berasa seperti kekosongan. Perasaan yang sama dirasai Abu Khabsyah dan anak perempuan mereka Asy Syima'. Apabila masuk ke dalam rumah mereka rasa sunyi sepi tanpa kehadiran Muhammad Pada mulanya Halimatus Saadiah dan suaminya menyangka perasaan itu dirasai cuma beberapa ketika sahaja kerana baru berpisah dengan Muhammad. Namun sangkaan mereka meleset kerana rasa sunyi dan rindu itu semakin menebal. Perasaan itu bukan saja dirasai Halimatus Saadiah malah suaminya Abu Khabsyah turut berasa perasaan yang sama sejak ketiadaan Muhammad.
Akhirnya Halimatus Saadiah berbincang dengan suaminya dan mereka mengambil keputusan untuk pergi semula ke Kota Mekah menemui Siti Aminah. Dalam pertemuan itu, Halimatus Saadiah dan suaminya merayu kepada Siti Aminah agar menyerahkan semula Muhammad untu dibawa ke Desa Bani Saad. Pada mulanya Siti Aminah berasa amat berat hati mahu melepaskan anak kesayangannya itu. Tambahan pula mereka baru saja bersama beberapa hari. Tetapi apabila melihat suami isteri itu begitu berharap dan Muhammad pula kelihatan begitu mesra apabila bertemu dengan keluarga susuannya membuat Siti Aminah tidak sampai hati menghampakan permintaan mereka.
Setelah berbincang dengan bapa mertuanya, Abdul Mutalib, akhirnya Siti Aminah melepaskan semula anaknya Muhammad untuk dipelihara semula oleh keluarga susuannya selama beberapa tahun lagi. Muhammad dibawa pulang semula ke Desa Bani Saad. Kepulangannya bukan saja menggembirakan hati Halimatus Saadiah dan suaminya malah jiran tetangga juga. Nabi Muhammad s.a.w dibesarkan di perkampungan Bani Saad yang udaranya segar dan bersih. Bertutur bahasa Arab dengan pertuturan yang fasih kerana kabilah Bani Saad terkenal paling fasih bahasa Arabnya.
MEMBELAH DADA
Beberapa tahun kemudian Muhammad menjadi seorang kanak-kanak yang cergas fizikal dan mentalnya, sihat tubuh badan dan fikirannya, keras semangat dan kemahuannya serta memiliki kecantikan paras dan rupa. Muhammad juga dikurniakan akhlak yang mulia dan budi pekerti yang baik sejak kecil lagi. Dia menjalani kehidupan yang amat sederhana bersama saudara susuannya iaitu anak-anak Halimatus Saadiah. Setelah berumur 4 tahun, Muhammad membantu keluarga angkatnya dengan memelihara kambing ternakan mereka. Halimatus Saadiah dan suaminya Abu Khabsyah membenarkan kerana Muhammad ketika itu sudah berumur 4 tahun. Sejak Muhammad turut membantu memelihara kambing maka binatang ternakan keluarga Halimatus Saadiah itu semakin membiak.
Pada suatu hari salah seekor ibu kambing melahirkan anaknya. Muhammad berasa amat gembira lalu mengajak saudaranya melihat anak kambing yang baru lahir itu. Kandang kambing itu terletak dibelakang rumah. Mereka pergi ke situ untuk melihat anak kambing yang baru dilahirkan. Sedang Muhammad dan saudara susuannya asyik melihat anak kambing itu tiba-tiba tanpa disangka sangka menjelma dua orang lelaki kepala botak tetapi wajahnya cantik menawan memakai jubah putih lalu terus mendekati Muhammad. Kemudian Muhammad dibawa ke satu sudut agak jauh dari kandang kambing itu. Kedua lelaki itu membaringkan Muhammad ke tanah lalu menanggalkan baju, membelah dadanya serta mengeluarkan hatinya. Hati itu dibelah dan dibersihkan dengan air Zamzma daru bejana emas. Kemudian hati itu dimasukkan semula dan dada Muhammad dijahit.
Apa yang berlaku terhadap Muhammad disaksikan oleh anak-anak Halimatus Saadiah. Mereka terkejut lalu terus berlari pulang mendapatkan Halimatus Saadiah di rumah mereka untuk menyampaikan berita tentang dua orang lelaki yang menangkap Muhammad itu. Wajah anak-anak itu pucat lesi dan tubuh mereka menggeletar kerana ketakutan. Halimatus Saadiah terkejut lalu segera pergi mendapatkan Muhammad. Meraka hairan kerana Muhammad nampak tenang cuma mukanya kelihatan pucat. Muhammad menceritakan apa yang terjadi ke atas dirinya.
MUHAMMAD DALAM BAHAYA .
Apa yang berlaku terhadap Muhammad itu amat membimbangkan hati Halimatus Saadiah dan suaminya. Tambahan pula beberapa hari kemudiannya beberapa orang Nasrani melihat Muhammad sedang bermain dengan kawan-kawannya. Mereka kelihatan tertarik hati melihat Muhammad lalu bertanya kepada Halimatus Saadiah mengenai anak dibawah jagaannya itu .Halimatus Saadiah tidak menjawab pertanyaan mereka kerana bimbang Muhammad akan diculik. Peristiwa Muhammad ditangkap dua orang lelaki yang tidak dikenali lalu dadanya dibedah dan pertanyaan orang-orang Nasrani tentang Muhammad itu, membuat Halimatus Saadiah yakin anak susuannya itu berada dalam keadaan bahaya.
Beliau berbincang dengan suaminya lalu mencadangkan Muhammad diserahkan semula kepada ibunya Siti Aminah. Abu Khabsyah bersetuju dengan cadangan isterinya itu dan mahu penyerahan Muhammad kepada ibunya disegerakan. Keesokkan harinya Halimatus Saadiah bersama suami dan anak-anaknya berangkat ke Kota Mekah dengan membawa Muhammad. Walaupun berat hati mereka untuk berpisah dengan anak itu yang telah dianggap seperti anak sendiri, namun itu perlu dilakukan demi untuk keselamatan Muhammad. Jika berlaku sesuatu terhadapnya pasti mereka akan dipersalahkan oleh Siti Aminah.
Apabila sampai di Kota Mekah Halimatus Saadiah terus menuju ke rumah Siti Aminah. Apabila Muhammad diserahkan, Siti Aminah berasa hairan lalu bertanya apa yang berlaku . Halimatus Saadiah menceritakan apa yang telah berlaku terhadap Muhammad. Bagi mendapat penjelasan selanjutnya, maka Siti Aminah bertanya pula kepada Muhammad. " Dua orang lelaki berpakaian putih telah datang kepadaku. Mereka terus menangkap saya lalu dibawa ke suatu tempat. Kemudian saya dibaringkan ke atas tanah lalu mereka membedah perut dan dada saya," Terang Muhammad, lalu menceritakan bagaimana kedua lelaki itu mengeluarkan hati lalu membedah serta membasuhnya dengan air zamzam yang diisi dalam bejana emas.
" Kami bimbang sesuatu yang buruk berlaku terhadap Muhammad. Kerana itu kami mahu menyerahkan semula kepada ibunya," Kata Halimatus Saadiah pula. Siti Aminah tidak terkejut mendengarnya lalu berkata. " Sesungguhnya anakku ini akan menjadi orang besar dikemudian hari. Ketika aku mengandungkannya, aku melihat sinar cahaya keluar dari perutku. Kemudian sinar tersebut naik ke atas sehingga aku boleh melihat istana-istana Busra di Syam terang berderang dengan cahaya. Demi Allah, selama aku mengandungkan Muhammad, aku merasakan kandunganku ringan dan tidak membebankan saya untuk bergerak kemana-mana. Saya tidak berasa sakit ketika melahirkannya. Setelah lahir Muhammad mendongak ke langit. "
Sumber dari Majalah i ( Dis 2012)
No comments:
Post a Comment