Wednesday 27 February 2013

Api neraka 70 kali ganda lebih panas

Api neraka 70 kali ganda lebih panas

Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa sesungguhnya Allah mengutuskan Malaikat Jibril untuk bertemu dengan Malaikat Malik yang bertanggungjawab menjaga pintu neraka. Tujuannya adalah untuk meminta Malaikat Malik membawa api neraka itu kepada Nabi Adam agar dapat digunakan untuk memasak dan keperluan-kepeluan lain. 

Lalu Malaikat Jibril berkata : "Wahai Malik, aku diutuskan oleh Allah untuk mengambil api neraka bagi kegunaan Nabi Adam." Kemudian Malaikat Malik kemudiannya bertanya : " Wahai Malaikat Jibril, berapa banyakkah yang kamu inginkan ? Jibril menjawab : " Bawakan sebesar sebiji kurma." Lantas Malaikat Malik berkata : "Tahukah kamu wahai Jibril andainya aku berikan kepada kamu api nereka sebesar biji kurma, nescaya akan hancur lebur tujuh petala langit dan bumi disebabkan kepanasan api neraka itu."

Maka berkata Jibril : " Jika begitu yang terjadi, maka berikanlah kepadaku separuh daripada biji kurma." Malaikat Malik kemudiannya menjawab : "Andainya aku berikan separuh daripadanya sebagaimana yang kamu pinta, ketahuilah bahawa langit tidak akan menurunkan hujan, walaupun setitis air kerana panasnya api itu. Lantaran itu, juga bumi tidak akan ditumbuhi oleh tanaman dan menjadi kering kontang."

Lantaran penjelasan Malaikat Malik itu, Jibril berdoa pada Allah untuk memohon petunjuk : "Wahai Tuhanku, sebanyak manakah yang sepatutnya aku ambil daripada neraka." Allah menjawab doa Jibril dengan berfirman : " Ambillah ia sebesar biji sawi." Kemudian Jibril mengambil api neraka daripada Malik sebesar biji sawi dan membawanya kesyurga untuk dibasuh di 70 sungai. 

Kemudian Jibril turun ke bumi dan meletakkannya diatas gunung yang tinggi. Sebaik saja Jibril meletakkannya, maka hancur lebur gunung itu menjadi rata dan api itu dikembalikan semula ke tempat asal. Yang tinggal hanyalah asapnya saja melekat pada batu.  Daripada kisah diatas,  dapat kita bayangkan betapa panasnya api neraka yang diciptakan Allah SWT berbanding api yang ada didunia ini. 

Seksa orang ingkar 

Harus diingat, api neraka yang panas itulah yang disediakan untuk menyeksa orang yang ingkar, kufur dan mereka yang suka melakukan maksiat serta tidak mempedulikan peringatan Allah.  Dalam sebuah hadis riwayat, ada menyatakan bahawa Jibril datang berjumpa dengan Rasulullah SAW dan baginda bertanya kepada Jibril : "Wahai Jibril, terangkanlah kepadaku tentang sifat-sifat api neraka."

Jibril menjawab : " Sesungguhnya Allah SWT menjadikan neraka dan yang dinyalakan selama seribu tahun hingga menjadi merah menyala. Kemudian ia dinyalakan lagi sehingga warnanya berubah menjadi putih. Kemudian dinyalakan lagi selama seribu tahun sehingga warnanya berubah menjadi hitam pekat bagaikan malam yang gelita.  Tidaklah padam nyalaan api itu dan tidak pula mati baranya. "

Bayangkanlah dengan akal fikiran yang telah Allah kurniakan, jika seketul api neraka yang sebesar biji kurma itu dapat menghancurkan tujuh petala langit dan bumi, manakala seketul api neraka sebesar biji sawi yang telah dibasuh dengan 70 buah sungai dapat meranapkan gunung yang tinggi. 

Bagaimana pula agaknya dengan keadaan manusia yang dibakar oleh Allah pada hari akhirat kelak dengan keadaan api neraka yang turun menjunam? Mereka adalah orang yang mensyirikkan Allah, tidak mempedulikan apa yang disyariatkan Allah serta berlaku zalim sesama insan. 

Sesungguhnya apabila tiba hari Akhirat dan pembalasan, maka semuanya sudah terlambat. Tiada lagi rintihan dan rayuan akan didengari. Yang tinggal hanya pekikan serta jeritan kepedihan menanggung azab yang tidak terperi.  Alangkah seksanya mereka yang menerima pembalasan buruk pada hari Akhirat kelak. 

Marilah kita manadah tangan dan sentiasa berdoa agar dengan rahmat dan kasih sayang Allah kita dijauhkan daripada api neraka yang membakar ini sebagaimana maksud surah al-Furqan ayat 65-66 yang bermaksud:-

"Ya Tuhan kami, jauhkanlah azab neraka Jahanam daripada kami, sesungguhnya azabnya itu amat mengerikan. Sesungguhnya Jahanam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman,"


OLEH : IMAM MUDA HASSAN ADLI YAHAYA



2 comments: